KEMAMAN 12 Ogos – Bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said mengalami kekalahan berganda apabila beliau gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu Ahmad Said tewas bagi kerusi Parlimen Kemaman kepada calon Pas Che Alias Hamid dengan majoriti 27,179 undi.
Pada PRN hari ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu itu tewas kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu, Datuk Razali Idris yang menang dengan majoriti 3,758 undi dalam pertembungan satu lawan satu.
Razali berjaya memperoleh 13,403 undi manakala Ahmad mendapat 9,645 undi.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya, Hanum Isa@Ghazali di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Sivik Kijal tepat pukul 9.40 malam.
Pada PRU14, dalam pertembungan tiga penjuru, Ahmad menang dengan jumlah undi sebanyak 9,545.
Hazri Jusoh yang mewakili Pas memperoleh 8,280 undi manakala calon PKR, Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok hilang deposit dengan 1,472. undian.
Ahmad mewakili DUN Kijal sejak 1990 sehingga PRU 14 tetapi tewas pada pilihan raya 1999.
