PAGI ini seorang rakan yang sedang berada di Makkah mengirimkan WhatsApp memberitahu, mereka terhalang seketika untuk memasuki Masjidilharam. Bagaimanapun sejam sebelum Subuh dibenarkan masuk. Maknanya tidak ada iktikaf sepanjang malam atau tidur di dalam masjid.
Sebelum ini, aktiviti tawaf atau umrah tidak dibenarkan bagi kerja-kerja pembersihan. Akibatnya dataran Kaabah lengang.
Memang sedih mendengar dan melihat situasi ini. Kaabah yang tidak putus-putus dengan manusia tawaf mengelilinginya tiba-tiba tidak ada yang melakukan perbuatan itu. Keadaan lengang. Tidak kelihatan suasana yang berasak-asak. Tiada lagi mereka yang berasak-asak untuk menghampiri dan mencium Hajarulaswad.
Betapa kecewa dan sedihnya jemaah yang tiba-tiba dimaklumkan tidak boleh melakukan ibadah itu sedangkan mereka sudah berpakaian ihram.
Namun anggaplah itu sudah qada dan qadar. Manusia hanya mampu merancang, Allah yang tentukan. Tindakan itu terpaksa diambil bagi membendung penularan wabak koronavirus Covid-19 yang memasuki Arab Saudi. Itu pun ketika negara negara lain sudah disapa Covid-19, Arab Saudi antara yang lewat menerima wabak ini padahal di situ jutaan manusia dari seluruh pelusuk dunia berhimpun. Setakat ini Arab Saudi mencatat lapan kes.
Bukan setakat umat Islam dari luar dihalang ziarah di Madinah dan umrah di Makkah malahan rakyat tempatan juga dilarang mengerjakan umrah dan ziarah.
Jika koronavirus ini telah memaksa hampir 300 juta pelajar di seluruh dunia tidak dapat ke sekolah, jutaan manusia pula tidak dapat melakukan ibadah ziarah dan umrah. Ramai yang terkandas akibat visa dibatalkan. Jika program pendidikan jni boleh dilakukan dalam talian, ibadah umrah memang tidak boleh.
Kita hanya mampu berdoa dan mengambil langkah pencegahan. Maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Arab Saudi untuk berikhtiar bagi memantau virus berkenaan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila kamu dapati terdapat penyakit taun di dalam mana-mana kawasan maka janganlah kamu mendekati kawasan tersebut, dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terkena taun, maka janganlah kamu keluar lari daripada kawasan tersebut.”
(Riwayat Bukhari)
Sama-samalah kita berdoa agar situasi ini terkawal dan larangan yang dikeluarkan dapat ditarik balik. Pada masa yang sama kita juga harus mengambil langkah berjaga-jaga. Sabda Rasulullah SAW : Jangan didekatkan yang sakit dengan yang sihat.” (Riwayat Bukhari)
Semoga Covid-19 ada penawarnya lebih-lebih lagi menjelang musim haji akan datang. Sabda Rasulullah SAW daripada Abu Darda’ R.Anhu yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram.”