Tidak setuju pengumuman Zahid

SEPANG 31 Julai – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak bersetuju dengan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan sejumlah peruntukan kepada Majlis Belia Negeri Terengganu ketika program di negeri itu pada Jumaat lalu.

Wakil Rakyat Pakatan Harapan (PH) itu berkata, peruntukan itu diumumkan menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan di negeri itu.

“Rasuah itu isu legal dan persepsi. Rasuah berkait soal etika, bukan legal semata-mata. Pilihan raya tanpa rasuah adalah pilihan raya yang adil dan bersih

“Sebagai Ahli Parlimen, saya tak setuju pengumuman geran tambahan oleh TPM Zahid Hamidi di Terengganu ketika kempen pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid dalam ucapannya mengumumkan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

“Untuk Majlis Belia Negeri Terengganu saya luluskan RM250,000. Untuk pasukan bermotosikal seluruh negeri Terengganu saya berikan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk seluruh motosikal di negeri Terengganu.

“Itu baru saya, lepas ini PM (Perdana Menteri) naik dia akan top up (tambah), akan tambah, asalkan pada 12 Ogos nanti, para belia mengikut gelombang biru dan gelombang merah yang ada di negeri Terengganu boleh?” kata Ahmad Zahid.

Peruntukan itu bagaimanapun menimbulkan polemik selepas Ahmad Zahid mengatakan peruntukan itu mungkin ditambah sekiranya kumpulan belia ‘mengikut gelombang biru dan merah di Terengganu pada 12 Ogos nanti.’

Sementara Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Azam Baki menegaskan peruntukan kerajaan Persekutuan kepada belia Terengganu itu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mempertahankan pengumuman Ahmad Zahid itu dan mendakwa peruntukan kepada golongan belia di Terengganu itu, tiada kaitan dengan PRN pada 12 Ogos ini.

Related posts

Leave a Comment