Keahlian 2 pemimpin Pas Langkawi gugur

KUALA LUMPUR 31 Julai – Pas menggugurkan keahlian Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie yang masing-masing bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan DUN Ayer Hangat.

Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan, berkata laporan Setiausaha Pas kawasan Langkawi yang baru diterima oleh Pejabat Setiausaha Agung Pas mendapati, sejumlah lapan individu melanggar ketetapan parti.

Katanya , mereka bertindak dengan bertanding sebagai calon Bebas di kedua-dua DUN berkenaan, selain sebagai wakil calon, pencadang dan penyokong bagi kedua-dua calon Bebas berkenaan.

“Semua langkah sudah diambil oleh pihak kepemimpinan tempatan bagi memujuk dan menghalang individu itu daripada meneruskan niat terbabit tetapi gagal mencapai matlamat yang diharapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Takiyuddin berkata, seperti ditegaskan oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang pada 26 Julai lalu serta makluman Setiausaha Agung Pas pada 27 dan 30 Julai, mana-mana ahli yang mengingkari keputusan parti dengan bertanding sebagai calon Bebas atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh merugikan parti boleh diambil tindakan tegas, termasuk dipecat keahlian.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin berkata, pada hari ini  Pejabat Setiausaha Agung menerima surat daripada kedua-dua ahli yang menjadi calon dengan seorang daripadanya meletakkan semua jawatan yang disandangnya dalam parti.

Seorang lagi ahli yang menjadi calon Bebas itu pula mengisytiharkan keluar parti, manakala surat daripada tiga ahli lain yang bertindak sebagai pencadang, penyokong dan wakil calon bagi calon itu turut melakukan perkara yang sama.

“Oleh sebab ketetapan berhubung perkara ini dianggap sudah dimaklumi oleh semua ahli Pas, maka parti tidak mempunyai pilihan selain daripada menguatkuasakan peraturan sedia ada tanpa menjejaskan hak individu terbabit untuk merayu atau mengemukakan permohonan keahlian baharu pada masa akan datang,” katanya.p

Takiyuddin berkata, mereka yang berkenaan, kecuali yang keluar parti turut diberikan pilihan untuk membuat perisytiharan menarik diri daripada pertandingan serta meminta penyokong mereka supaya menyokong calon Perikatan Nasional (PN) di kedua-dua DUN itu.

“Jika tawaran ini diterima, maka ia boleh menjadi faktor mitigasi terhadap sebarang pertuduhan tatatertib yang boleh dibuat terhadap mereka,” katanya.

Sementara itu, Pas juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli terbabit atas pembabitan, sumbangan, jasa baik dan pengorbanan yang diberikan kepada parti selama ini dengan harapan ia diterima sebagai ibadah dan amal soleh di sisi Allah SWT.

Katanya, Pas percaya perbezaan pandangan dan keutamaan pada detik atau berkait isu tertentu dan khusus seperti ini bukanlah pemutus terhadap hubungan baik dan rasa persaudaraan yang sudah terjalin sejak sekian lama antara individu terbabit dengan parti dan ahli yang lain.

“Sehubungan itu juga, Pas menggesa semua ahli dan penyokong parti supaya terus menyokong dan mengundi calon-calon PN yang telah dipilih dan disahkan dalam PRN kali ini.

“Pas percaya komitmen dan sokongan bulat kepada keputusan-keputusan yang dibuat oleh pihak kepemimpinan PN berhubung PRN ini adalah kritikal bagi menjayakan perancangan bersama yang telah digariskan, selain sangat penting untuk pencapaian matlamat yang lebih besar, iaitu untuk kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment