GOMBAK 31 Julai – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, mendakwa pelbagai inisiatif dan program yang memberi manfaat kepada rakyat negara ini, akan terjejas jika Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Anwar Ibrahim ketika ini, menurunkan harga petrol.
“Rakyat bertanya kepada kita mengapa tidak turunkan harga petrol. Pertamanya, hutang sekarang RM1.5 trilion. Kita ada hutang besar, jadi kerajaan harus buat pilihan,” kata Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR ketika Jelajah Madani di Sungai Tua malam tadi.
Penjelasannya itu menyusul selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bersetuju menerima cabaran berdebat, dengan syarat Rafizi membuktikan beliau berjaya memulihkan ekonomi Malaysia dan menurunkan harga bahan bakar kenderaan.
Memetik laporan FMT, pada 2022, Anwar ketika berada dalam blok pembangkang, berjanji menurunkan harga petrol, sehari selepas beliau mengambil alih tampuk pemerintahan.
Rafizi berkata, bagi satu liter RON95 yang kini berharga RM2.05, kerajaan sudah memberi subsidi RM1 atau dua pertiga daripada kosnya yang dianggarkan jumlah keseluruhannya berjumlah RM25 bilion.
Rafizi berkata, bagi satu liter RON95 yang kini berharga RM2.05, kerajaan sudah memberi subsidi RM1 atau dua pertiga daripada kosnya yang dianggarkan jumlah keseluruhannya berjumlah RM25 bilion.
Tahun lalu, subsidi untuk RON951, diesel dan elektrik mencecah RM80 bilion, dengan pendapatan kerajaan dianggarkan sekitar RM300 bilion.
Kerajaan kena bayar subsidi sampai RM80 bilion, bayar lagi faedah atas hutang lebih kurang RM30 bilion, tambah pula gaji pekerja, sewa bangunan kerajaan dan perbelanjaan kerajaan beratus-ratus bilion.
“Akhirnya duit itu habis semua, jadi bagaimana kita hendak bantu rakyat untuk naikkan gaji, bina lebih banyak rumah dan wujudkan program basmi kemiskinan yang mengubah kehidupan rakyat,” katanya.
Menurutnya, mungkin mudah bagi kerajaan memenangi PRN dengan mengumumkan harga minyak turun sebanyak 20 sen, tetapi ia akan memberi kesan lebih besar.
Ia termasuk gaji cikgu dipotong, projek rumah rakyat miskin dihentikan dan bekalan air di Kelantan serta Sabah tidak dapat diselesaikan.
“Jadi beritahu kami mana satu tindakan bertanggungjawab perlu dilakukan?,” katanya.
Jumaat lalu, Rafizi berkata, tiada sebarang perbincangan mengenai cadangan untuk menurunkan harga runcit bahan api RON95 dan diesel buat masa ini.
