Zahid umum peruntukan tiada kaitan PRN

KUALA LUMPUR 30 Julai –  Peruntukan lebih RM500,000 yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri,  Dr Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu Jumaat lalu, tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan peruntukan yang diumumkan Ahmad Zahid kepada beberapa persatuan di negeri itu adalah sebahagian daripada program kerajaan Persekutuan dan diumumkan sebelum penamaan calon PRN bermula.

Justeru Anwar meminta semua pihak berlaku adil kerana kerajaan Persekutuan tidak boleh menangguhkan program dan peruntukan yang sudah dirancang sejak sekian lama, hanya kerana PRN berlangsung.

“Penamaan calon semalam. (Urusan) kerajaan masih berjalan. Seperti yang saya umum tadi (peruntukan perluas program Rahmah), dia tak ada kena mengena dengan PRN.

Ada orang cadang tak boleh umum langsung. Tak boleh. Saya Perdana Menteri jaga negara sepenuhnya, kalau penting kita umum.

“Tapi saya sudah beritahu tak boleh guna jentera negeri kempen di negeri mulai semalam, hari penamaan calon sehingga hari mengundi. Itu keputusan jemaah menteri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2023, di sini hari ini.

Beliau  diminta mengulas dakwaan beberapa pihak yang menyifatkan pengumuman peruntukan RM550,000 oleh Ahmad Zahid di Dungun, baru-baru ini sebagai ‘sogokan’ untuk PRN.

Dalam ucapan itu, Ahmad Zahid mengumumkan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

“Untuk Majlis Belia Negeri Terengganu saya luluskan RM250,000. Untuk pasukan bermotosikal seluruh negeri Terengganu saya berikan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk seluruh motosikal di negeri Terengganu.

“Itu baru saya, lepas ini PM (Perdana Menteri) naik dia akan top up (tambah), akan tambah, asalkan pada 12 Ogos nanti, para belia mengikut gelombang biru dan gelombang merah yang ada di negeri Terengganu boleh?” kata Ahmad Zahid.

Peruntukan itu bagaimanapun menimbulkan polemik selepas Ahmad Zahid mengatakan peruntukan itu mungkin ditambah sekiranya kumpulan belia ‘mengikut gelombang biru dan merah di Terengganu pada 12 Ogos nanti.’

Hari ini, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Azam Baki menegaskan peruntukan kerajaan Persekutuan kepada belia Terengganu itu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan banyak program dan peruntukan yang diumumkan kerajaan Persekutuan sudah dirancang sejak beberapa bulan sebelumnya dan tidak boleh ditangguhkan hanya kerana PRN berlangsung.

Mengambil contoh peruntukan tambahan RM50 juta untuk memperluaskan program Rahmah yang diumumkan hari ini, Anwar memaklumkan ia sudah dirancang sejak tiga bulan lalu dan diputuskan untuk diumumkan pada HPK.

Selain itu, katanya, beberapa sumbangan yang diumumkan pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, Khamis lalu juga sudah dirancang lebih awal sebelum Pelan Induk Perindustrian Baharu dan kajian Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Perlukah saya tangguh semua ini? Tidak, kerja perlu diteruskan. Misalnya ada satu program di Pulau Pinang pada 5 Ogos ini, yang telah diputuskan bulan lalu.

“Saya tidak akan batalkannya. Tapi sudah tentu saya tidak mahu ada calon atau poster parti di sana. Ia perlu menjadi majlis kerajaan sepenuhnya dan perlu terus berjalan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment