PUTRAJAYA 29 Julai – Seramai 572 calon disahkan akan bertanding merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh berkata daripada 573 kertas penamaan yang diterima melalui 173 Pusat Penamaan Calon (PPC), satu kertas penamaan ditolak melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) N09 Kota Lama Kelantan.
Bercakap pada sidang media di sini, beliau berkata, jumlah calon Perikatan Nasional (PN) ialah seramai 168 orang; Pakatan Harapan (PH) (138); Barisan Nasional (BN) (108): Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) (19); Parti Rakyat Malaysia (PRM) (13).
Parti Sosialis Malaysia (PSM) (empat); Penang Front Party (PFP) (dua); Parti Utama Rakyat (satu) dan Bebas (41).
Katanya, sebanyak 181 kawasan melibatkan satu lawan satu, 51 tiga penjuru, 13 melibatkan empat penjuru dan satu kawasan lima penjuru di N34 Lunas.
Bilangan calon mengikut jantina adalah lelaki 501 orang dan wanita 71 manakala umur calon tertua adalah Ravinder Singh anak lelaki Mall Singh (PRM) di N36 Pantai Jerejak, Pulau Pinang, iaitu 80 tahun dan calon termuda di N19 Bukit Antarabangsa, Selangor, Melanie Ting Yi-Hlin 23 tahun. (Foto)
