Rakyat sudah tahu Bersatu musuhi BN

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin tidak perlu terlalu beria-ia mengumumkan Barisan Nasional (BN) musuh utama kerana rakyat sudah lama tahu niat Bersatu pimpinan Muhyiddin menamatkan BN.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, umum mengetahui Bersatu sememangnya memusuhi BN dan pengumuman itu sekadar menunjukkan kekalutan Muhyiddin untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Justeru katanya, UMNO tidak berasa pelik bukan PH yang diumumkan musuh utama PN walaupun Muhyiddin pernah menyebut PH tidak selari dengan perjuangan orang Melayu, Islam serta rakyat Malaysia.

Kata Ahmad Zahid, kemungkinan, satu-satunya pihak yang sedang keliru dan celaru dengan pengumuman Muhyiddin itu adalah pimpinan tertinggi Pas.

“Maka dengan pengumuman Mahiaddin BN musuh utama PN seharusnya membuka mata dan minda yang pernah terpedaya untuk melihat kebenaran. Ahli-ahli Parlimen selain PPBM khususnya BN yang berada dalam Kabinet perlu memahami realiti bahawa mereka sedang dikelilingi oleh musuh dalam selimut,” katanya.

Dalam satu kenyataan melalui media sosial, Ahmad Zahid mengimbas kembali penubuhan Bersatu adalah dengan ‘misi’ untuk bergandingan dengan Pakatan Harapan (PH) bagi melenyapkan BN khususnya UMNO.

“Selepas gagal, PPBM (Bersatu) mengubah taktikal mahu menguasai BN dalam usaha menyekat kebangkitan pemimpin UMNO yang pernah mereka zalimi. Juga dengan sasaran BN akan berada di bawah telunjuk PPBM bagi diperkudakan untuk kepentingan politik mereka melalui perancangan ‘scheme of things’.

“Mujur sebahagian besar pimpinan BN termasuk Presiden UMNO dapat menghidu muslihat tersebut walaupun tidak dinafikan ada juga segelintir yang terpedaya,” kata Ahmad Zahid.

Muhyiddin katanya mungkin masih berharap membawa PN bekerjasama dengan PH yang tidak selari dengan perjuangan Melayu, Islam serta rakyat Malaysia.

Ahmad Zahid mengingatkan bahawa selagi komposisi Kabinet sedia ada dipertahankan bersama Bersatu, selagi itulah kerajaan campuran itu terdedah kepada risiko sabotaj.

Malahan selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin memulakan gerakan melampaui batas ‘menyerang’ Perdana Menteri yang boleh memberi implikasi negatif kepada negara kerana Pengerusi MPN sendiri menggambarkan kerajaan yang dianggotainya sebagai lemah dan gagal.

Tidak pasti sama ada tindakan terbaharu Muhyiddin itu juga satu lagi bentuk ugutan terhadap Perdana Menteri atau sememangnya beliau sudah tidak mampu menyembunyikan muslihatnya.

“Dengan demikian para pelabur asing akan melihat Malaysia bukan destinasi yang stabil dan kukuh untuk pelaburan sekali gus menyulitkan usaha memulihkan ekonomi Malaysia termasuk nilai mata wang yang kini berada paras menggusarkan.

“Lambat laun pasaran saham akan turut merundum apabila pelabur asing menjual saham tempatan untuk melabur di tempat lain,” katanya.

Dalam hubungan ini, Ahmad Zahid berharap sebuah kerajaan yang stabil perlu dibentuk segera dengan memberi mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang kukuh.

“Justeru itu ayuh semua kita segerakan PRU-15 sebelum musim hujan, sebelum negara berdepan dengan lebih banyak kerosakan angkara kerakusan politik musuh rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment