DAP sedia pertahan dua kerusi DUN di Kedah

TANJONG 26 Julai –  DAP akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga dan Kota Darul Aman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini dengan mencalonkan kedua-dua penyandang sebelum ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook mengumumkan nama-nama calon berkenaan Tan Kok Yew dan Teh Swee Leong pada majlis pengumuman calon DAP Pulau Pinang dan Kedah semalam.

Kok Yew yang juga Pengerusi DAP Kedah pernah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah ketika diterajui Pakatan Harapan (PH).

Pada Pilihan Raya Umum lalu, beliau memenangi kerusi Derga dengan majoriti 5,967 undi selepas memperoleh 11,232 undi, mengalahkan calon Pas yang memperoleh 5,967 dan calon Barisan Nasional (BN) yang mendapat 4,916 undi.

Sementara itu Setiausaha Negeri DAP Kedah, Teh Swee Leong akan mempertahankan kerusi DUN Kota Darul Aman yang dimenanginya pada PRU lalu.

Swee Leong pada PRU lalu menang dengan majoriti 8,468 undi selepas mendapat 11,737 undi, mengalahkan calon BN yang memperoleh 3,269 undi serta calon Pas dan PRM yang gagal memperoleh undi mencukupi menyebabkan hilang wang pertaruhan.

Caption: Tan Kok Yew (kanan) dan Teh Swee Leong bersedia pertahankan dua kerusi PH di Kedah

Related posts

Leave a Comment