“Salahuddin seorang sahabat yang setia”

KUALA LUMPUR 23 Julai- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub, sebagai satu kehilangan besar.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu  berkata, beliau amat terkesan dengan kehilangan Allahyarham yang merupakan seorang sahabat yang setia.

“Secara peribadi, ia satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga, dan saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini hingga ke akhir hayat. Jasa dan budinya tentu tidak termampu dibalas secara materi.

“Beliau dikenali kerana mempunyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan. Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.

Berehatlah, sahabatku..,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook beliau, malam ini.

Anwar berharap, keluarga Allahyarham diberi kesabaran tinggi atas kehilangan insan tersayang.

“Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku, Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN)  Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya merasa dukacita mendengar perkhabaran ini dan berdoa semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dapat bersabar dan tabah melalui detik mendukacitakan ini.

Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya melalui Facebooknya.

Timbalan Perdana Menteri,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut berdukacita sebaik menerima berita kematian Salahuddin, yang beliau sifatkan Allahyarham seorang rakan Kabinet yang sangat dihormatinya, selain berperwatakan rendah diri, sentiasa komited dan berdedikasi di dalam melaksanakan tanggungjawab beliau.

“Sehingga hujung nyawa beliau prihatin dan terus berjuang memikirkan kesejahteraan rakyat. Negara kehilangan pemimpin hebat. Marilah bersama kita berdoa semoga Allah swt merahmati beliau dan memberikan kesabaran kepada seisi keluarga di atas kehilangan ini,” kata Presiden UMNO itu.

Related posts

Leave a Comment