Salahuddin Ayub meninggal dunia

ALOR SETAR 23 Julai –  Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, kira-kira pukul 9.30 malam ini.

Ahli Parlimen Pulai, Johor selama dua penggal itu meninggal dunia, ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi HSB.

Kematian beliau diumumkan oleh anaknya, Fatihah Salahuddin menerusi perkongsian di Facebook.

“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub, telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya.

Salahuddin meninggalkan seorang balu iaitu Fatimah Taha bersama enam anak.

Jumaat lalu, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB, pada pukul 10.15 malam, untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Pemeriksaan doktor pakar kemudiannya mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.

Beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada pagi Sabtu, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB.

Selain ahli keluarga terdekat, antara kenamaan turut menziarahi Salahuddin di HSB malam ini ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu yang juga Presiden Amanah dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Menteri Besar Kedah, Mohamad Sanusi Md Nor, turut menziarahi jenazah Allahyarham di HSB malam ini, sejurus menerima perkhabaran mengenai pemergian Salahuddin.

Sementara itu, menurut kenyataan media kementerian berkenaan, jenazah Allahyarham akan dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek) Tanjung Piai.

“Pejabat Menteri KPDN akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat.

“Pihak keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham selama ini.

“Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya.

Allahyarham sebelum ini pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.

Related posts

Leave a Comment