TANJONG 23 Julai – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menampilkan lapan muka baharu dan mengekalkan lima muka lama untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada 12 Ogos ini.
Senarai yang diumumkan Presiden PKR Anwar Ibrahim malam tadi juga tidak menyenaraikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, Nurul Izzah sebagai calon yang sebelum ini dikatakan akan bertanding di Seberang Jaya.
Mereka yang digugurkan adalah Timbalan Ketua Menteri 1, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (Pinang Tunggal) dan Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin (Penanti).
Turut digugurkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail (Pantai Jerejak) dan Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan Abdul Halim Hussain (Batu Maung), dan Timbalan Yang Dipertua DUN, Dr Amar Pritpal Abdullah.
Penyandang kerusi DUN Telok Ayer Tawar, Mustafa Kamal Ahmad dan penyandang DUN Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee, juga tidak disenaraikan.
Lima muka lama yang akan mempertahankan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah Mohd Tuah Ismail (DUN Pulau Betong), Lee Khai Loon (Machang Bubok), Gooi Hsiao Leung (Bukit Tengah), Goh Choon Aik (Bukit Tambun) dan A Kumaresan (Batu Uban).
Muka baharu yang ditampilkan termasuklah Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang Norhidayah Che Ros (Sungai Bakap), Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang Rohsidi Hussin (Penanti), dan Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang Prof Dr Mohd Abdul Hamid (Batu Maung).
Turut dicalonkan adalah Zainuddin Mohd (Pinang Tunggal), Mohsin Md Sharif (Telok Ayer Tawar), Johari Kassim (Seberang Jaya), Lee Boon Heung (Kebun Bunga) dan Fahmi Zainol (Pantai Jerejak).
Senarai itu juga menyaksikan DUN Sungai Acheh diserahkan kepada UMNO selepas kerusi itu dimenangi calon PKR Zulkifli Ibrahim pada 2018 dengan menewaskan calon UMNO Mahmud Zakaria. Bagaimanapun Zulkifli kemudiannya menyertai Bersatu.
