KUALA LUMPUR 21 Julai – Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican adalah antara enam calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu yang tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dicalonkan di kawasan DUN dalam Parlimen yang sama.
Turut dicalonkan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ir Dr Sheikh Hussain Mydin yang juga Ketua UMNO bahagian Bagan akan mempertahankan kerusi DUN Sungai Dua yang dimenangi Muhammad Yusoff Mohd Noor pada PRU14.
Satu lagi kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU lalu iaitu Permatang Berangan akan dipertahankan oleh penyandang sebelum ini Nor Hafizah Osman.
Sementara itu Ustaz Mohd Naim Salleh dicalonkan untuk kerusi Penaga, iaitu kawasan DUN dalam Parlimen Kepala Batas yang sebelum ini disandang oleh wakil Pas.
Di Parlimen Nibong Tebal, BN menurunkan Rashidi Zainol bagi DUN Sungai Acheh sementara di Parlimen Balik Pulau, Ketua Pemuda bahagian, Ahmad Zaki Shah Shahidan dicalonkan untuk kerusi Teluk Bahang.
