KOTA BHARU 21 Julai – Dr Mahathir Mohamad melahirkan keyakinannya yang Perikatan Nasional (PN) mampu memperoleh kemenangan di enam negeri yang berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Berucap pada kemunculan pertamanya di atas pentas PN, bekas Perdana Menteri itu turut berharap semua pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memberi kemenangan kepada PN kelak.
“Saya harap kita dapat sapu bersih PRN tidak lama lagi. Saya yakin kemenangan akan dicapai bukan sahaja di Kelantan, Terengganu dan Kedah, sebaliknya turut membabitkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
“Kita lihat kadang-kadang orang Melayu tidak keluar mengundi kerana bosan dengan politik, jika kita tidak keluar ia seperti kita memberi undi kepada mereka yang tidak layak untuk mendapat kemenangan dan mendirikan kerajaan,” katanya.
Justeru Dr Mahathir berharap orang Melayu akan keluar mengundi seramai yang mungkin bagi memberikan kemenangan buat PN.
“Tidak mudah kita nak serahkan kepada orang lain kerana kita juga ada kebolehan untuk mentadbir. Suatu masa dulu kita digelar ‘harimau Asia’, hari ini sudah jadi ‘kakistokrasi’,” katanya yang menyifatkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim sebagai kerajaan kakistokrasi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Munajat Rakyat Kelantan Pakat Pertahan dan Amanah Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam ini.
Turut hadir termasuk Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, Timbalannya, Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dr Mahathir berkata, beliau sudah berkecimpung dalam politik selama 80 tahun, namun inilah perhimpunan yang terbesar.
“Saya bersyukur dapat bersama dan berada di stadium malam ini yang menunjukkan bahawa kita orang Melayu masih mempunyai kekuatan.
“Saya juga gembira kerana hari ini saya dapat datang ke Kelantan dan amat gembira kerana dapat menziarah tempat Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz dan keluarganya yang sudah mencipta perjuangan parti Pas.
“Pembangunan di Kelantan sudah pesat dan sudah ada bangunan pencakar langit di Kota Bharu,” katanya.
