Muhammad Sanusi kekal sebagai calon PRN

KUALA TERENGGANU 20 Julai –  Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas semalam memutuskan untuk mengekalkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu belum hilang kelayakan untuk bertanding kerana baru berdepan proses pertuduhan.

Pada masa yang sama, Pas juga tidak akan mengenakan sebarang tindakan terhadap Muhammad Sanusi meskipun terpalit kontroversi dan berdepan tindakan mahkamah di bawah Akta Hasutan.

“Kita telah putuskan bahawa beliau (Muhammad Sanusi) dikekalkan sebagai (calon) pilihan pertama. Tak ada masalah sebab dia akan bicara pun pada Oktober nanti.

“Kita juga tidak meletakkan sebarang syarat kepada beliau sebab apa yang kita lihat, pertuduhan terhadap beliau itu lebih bersifat kepada usaha untuk menggugat (kedudukan) beliau. Kita akan lihat bagaimana proses pendakwaan ke atas beliau nanti, ” katanya selepas menghadiri ceramah pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, di sini, malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata, Pas bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berhubung keputusan dibuat mahkamah selepas proses perbicaraan ke atas Muhammad Sanusi.

“Kita tunggu dululah perbicaraan dia dan keputusan dia nanti. Selepas itu baru parti akan buat keputusan. Kita ready (sedia) dengan apa-apa (kemungkinan) yang bakal berlaku sebab keputusan itu (perbicaraan) mengambil masa yang panjang,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, pertuduhan ke atas menteri besar itu lebih bersifat usaha untuk menekan kerana mendakwa ucapan pemimpin itu tidak menyebut penghinaan terhadap institusi diraja Selangor.

“Tapi saya nak kata, beliau dianggap menghina Raja, saya berulang kali dengar (ucapan) tak ada disebut pun (penghinaan) institusi diraja Selangor.

“Secara peribadi kalau berlaku kesilapan dalam ucapan beliau, mungkin tak ada sebarang sekatan kepada beliau dan beliau lebih tahu apa yang beliau perlu ucap dan sebagainya,” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Selayang atas dua pertuduhan menghasut.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan iaitu mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam ceramah politik minggu lalu.

Related posts

Leave a Comment