Bekalan telur, ayam lepasi tahap getir

KLANG 20 Julai – Bekalan telur serta ayam kini melepasi tahap getir dan kembali pulih dengan ada dalam kalangan peniaga mula menurunkan harga ayam, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, perkembangan itu adalah hasil usaha kementerian demi memastikan bekalan di pasaran mencukupi untuk pengguna.

“Sudah pulih (isu bekalan) bahkan ada tempat harga ayam sudah mula turun jadi usaha gigih termasuk dialog dengan persatuan penternak berhasil.

“Kita harap tidak ada krisis baharu dan sebagainya yang boleh menjejaskan import bijirin jagung dan soya sebab bijirin jagung kita masih di tahap permulaan penanaman dan lambat lagi untuk mencukupi bekalan,” katanya selepas merasmikan Bangunan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Klang, hari in

Mohamad juga memaklumkan bekalan beras di seluruh negara mencukupi tetapi  mengakui terdapat kekurangan beras tempatan di beberapa kawasan.

“Memang ada berlaku (kekurangan beras tempatan) kita tahu keadaan cuaca pada musim lepas yang tidak sesuai untuk padi, jadi pengeluaran sedikit berkurangan tapi bekalannya mencukupi,” katanya.

Mohamad juga mengingatkan pengilang supaya tidak menyimpan bekalan yang ada di premis masing-masing.

Sementara itu Mohamad juga menyampaikan bantuan untuk Program Pemerkasaan Usahawan Peladang (“Rise-up”) berjumlah RM851,000.00 yang memanfaatkan 14 orang usahawan.

Program Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana Secara Padanan berjumlah RM500,000.00 melibatkan 28 orang dan Program Agriprentice RM300,000.00 yang memanfaatkan 15 orang usahawan dengan jumlah keseluruhan RM1,651,000.00.

Related posts

Leave a Comment