SEPANG 20 Julai – Bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin Yassin mendakwa dokumen yang didedahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka Felda.
Dr Marzuki Mohamad melalui Facebook Perikatan Nasional (PN) berkata, ia sebaliknya perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.
“Baru sekejap tadi Perdana Menteri menyiarkan sebahagian dokumen yang dikatakan perjanjian pelupusan RM8.3 bilion hutang peneroka Felda.
“Sekali pandang saya sudah tahu. Dokumen tersebut bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka Felda, tetapi perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata, Kabinet pada 14 Oktober 2020 (PM Muhyiddin) meluluskan Pelan Pemulihan Felda, termasuk pelupusan 80 peratus hutang peneroka RM8.3 bilion, penerbitan sukuk RM9.9 bilion secara berperingkat untuk tujuan pengambilalihan FGV dan penyelesaian hutang Felda dengan Maybank dan KWSP dan penyediaan geran tahunan RM990 juta kepada Felda oleh Kerajaan Persekutuan.
“Dokumen yang disiarkan menerusi kenyataan media Perdana Menteri tidak membuktikan pelupusan hutang peneroka hanya dibuat pada bulan Jun 2023. Ia adalah berkenaan penerbitan Sukuk Berjaminan Kerajaan yang memang merupakan sebahagian daripada keputusan Kabinet pada tahun 2020.
“Sesiapapun yang menjadi Menteri Kewangan mesti menandatangani dokumen ini. Seingat saya Tan Sri Muhyiddin tak pernah jadi Menteri Kewangan,” katanya.
Menurut Marzuki, penyiaran dokumen ini mengesahkan telahannya sebelum ini bahawa dokumen yang ditandatangani oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka Felda tetapi perjanjian berkaitan sukuk berjaminan kerajaan.
“Untuk mengelakkan keraguan mengenai keputusan Kabinet pada 14 Oktober 2020 yang telah melupuskan hutang peneroka Felda, eloklah kerajaan “declassify” minit mesyuarat Kabinet tersebut untuk tatapan rakyat,” katanya.
