PRN: Polis perlu profesional, rasional

KUALA LUMPUR 20 Julai –  Ketua Polis Negara,  Razarudin Husain mengingatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersikap profesional serta rasional ketika menjalankan tugas sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.

Beliau berkata, mereka perlu bijak mengawal emosi ketika berhadapan sebarang insiden provokasi yang akan bermula dengan penamaan calon pada 29 Julai dan hari mengundi pada 12 Ogos ini yang melibatkan Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Saya percaya seluruh petugas PDRM bersiap sedia sepenuhnya memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk PRN kali ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berharap anggota pasukan juga dapat memberi keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan diri ketika bertugas sementara PDRM akan berusaha memastikan kebajikan petugas PDRM sepanjang PRN terjaga.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara,  Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sepanjang PRN itu, seramai 9,600 pegawai dan anggota akan dihantar ke enam negeri terbabit bagi memastikan proses mengundi berjalan lancar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak dengan 29 Julai ini sebagai hari penamaan calon, hari pengundian awal pada 8 Ogos dan 12 Ogos sebagai hari pengundian.

Sementara itu, Razarudin turut mengingatkan pegawai yang mengamalkan birokrasi atau ‘pilih bulu’ ketika menjalankan siasatan tidak akan terlepas daripada tindakan.

Beliau berkata, pemerhatian dan penilaian masyarakat terhadap PDRM berkisar kepada kebolehupayaan membendung jenayah, siasatan, tangkapan dan pendakwaan.

Katanya, ini termasuk penguatkuasaan undang-undang dalam penyiasatan dan pendakwaan jenayah yang perlu dilaksanakan dengan bijak.

“Kualiti maklumat risikan jenayah menentukan hasil operasi dan seterusnya paling utama adalah untuk mendakwa pesalah di mahkamah.

“Justeru, kita harus memperkasakan kredibiliti, kecekapan dan kemahiran pegawai kita bagi memastikan kualiti ‘crime prevention’ (pencegahan jenayah) serta ‘crime suppression’ ( menumpaskan jenayah) pada tahap tertinggi,” katanya.

Razarudin juga memberitahu, indeks jenayah negara menunjukkan penurunan sebanyak 292 kes atau 1.1 peratus bagi tempoh separuh tahun pertama pada tahun ini.

Katanya, sebanyak 25,482 kes dicatatkan sejak 1 Januari hingga 30 Jun lalu berbanding 25,774 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 16,518 kes atau 64.8 peratus berjaya diselesaikan berbanding sasaran 45 peratus, manakala 56,677 kertas siasatan dibuka dengan 31,014 pertuduhan dicapai dari Januari hingga Jun lalu.

“Kita sudah mengharungi cabaran enam bulan pertama dan kini memasuki enam bulan terakhir sebelum tiba ke penghujung tahun. Untuk itu, besarlah harapan saya supaya momentum kecemerlangan PDRM terus dipertingkatkan dengan melakar lebih banyak episod kejayaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment