ROME – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap kebuluran yang diisytiharkan di Gaza pada Ogos lalu kini sudah berakhir susulan peningkatan akses bantuan kemanusiaan.
Bagaimanapun, PBB menegaskan keadaan di wilayah Palestin itu masih sangat membimbangkan kerana seluruh Gaza masih dikategorikan berada pada tahap kecemasan dari segi bekalan makanan.
Menurut Inisiatif Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), tiada kawasan yang kini diklasifikasikan sebagai mengalami kebuluran.
IPC adalah gabungan pemantau yang ditugaskan oleh PBB untuk memberi amaran awal mengenai krisis yang bakal berlaku.
Menurut IPC, walaupun tiada lagi kawasan yang diklasifikasikan sebagai kebuluran, kira-kira 1.6 juta penduduk Gaza dijangka masih berdepan masalah kekurangan makanan pada tahap krisis sehingga pertengahan April tahun depan.
Gencatan senjata yang bermula pada Oktober lalu berjaya menghentikan pertempuran, namun keadaan kekal rapuh apabila Israel dan Hamas terus saling menuduh melanggar perjanjian itu.
NNN
