KUALA LUMPUR 15 Julai – Melaka menyasarkan kehadiran sekitar 18.7 juta pelancong dari dalam dan luar negara sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, kata Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh.
Beliau yakin kehadiran pelancong sempena TMM 2024 akan turut membantu negeri mencapai sasaran peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri itu kepada lima peratus.
Katanya, pelbagai acara dan produk pelancongan baharu dirancang sepanjang tahun depan, yang antara lain dilaksanakan menerusi peruntukan berjumlah RM25 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Antara dirancang adalah kita akan tetapkan satu hari pada tahun depan untuk pelancong yang datang bermalam di Melaka dapat menaiki River Cruise secara percuma sepanjang hari.
Kita juga akan mengadakan cabutan bertuah khusus untuk pengunjung di Melaka, dengan hadiah utama empat kereta yang akan diberikan satu setiap tiga bulan, selain pelbagai hadiah lain.
“Kerajaan Melaka juga merancang mewujudkan River Cruise fasa dua di Sungai Paya Lebar di Masjid Tanah, di mana pengunjung boleh melihat sendiri sekitar 1,400 buaya di sepanjang 15 kilometer sungai itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran TMM 2024 di sini, malam tadi.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi merasmikan pelancaran itu yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing dan EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman.
Ab Rauf juga memaklumkan antara tarikan lain yang dirancang sepanjang tahun depan adalah pertandingan memancing besar-besaran di Sungai Melaka, restoran terapung di Sungai Paya Lebar, pertandingan masakan ikan air tawar, Minggu Jerman dan sebagainya.
Katanya, kerajaan Melaka turut melantik duta pelancongan atau Sukarelawan TMM 2024 dalam kalangan remaja berusia 18 hingga 25 tahun, dengan lebih 800 individu sudah mendaftar setakat ini.
Beliau turut mengumumkan pengisytiharan 20 Februari setiap tahun sebagai cuti umum di Melaka sempena pengisytiharan kemerdekaan Malaysia di bumi bersejarah itu.
“Kita juga akan mengambil kesempatan sempena TMM 2024 untuk mempromosikan kawasan strategik untuk pelabur datang ke Melaka, selain memberi fokus pada pelancongan kesihatan dan pendidikan,” katanya.
