Pfizer bagi kanak-kanak 5 – 12

PUTRAJAYA 29 Okt. – Malaysia akan meneruskan pemerolehan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Katanya, pilihan vaksin lain seperti Sinovac juga akan diberi pertimbangan untuk pemberian vaksin terhadap golongan tersebut.

Setakat ini 82.4 peratus daripada remaja (12-17 tahun) telah diberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 62 peratus telah lengkap dua dos.

“Dengan Panel Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat mengesyorkan vaksin Pfizer untuk 5 hingga 12 tahun, Malaysia juga akan meneruskan pemerolehan Pfizer untuk kanak-kanak,” katanya melalui ciapan di laman media sosial Twitter semalam .

Beliau bagaimanapun belum memperincikan bilakah pemberian vaksin Covid-19 akan mula diberikan kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun itu.

Selasa lalu, panel FDA mengesyorkan vaksin Pfizer-Biontech Covid-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dengan menyatakan manfaat suntikan itu melebihi risikonya.

Malaysia telah memulakan pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun pada 20 September lalu.

Setakat Khamis, remaja yang telah melengkapkan vaksin mencecah 62 peratus atau 1,951,450 daripada populasi tersebut manakala seramai 82.4 peratus atau 2,592,048 mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Related posts

Leave a Comment