Ayob Khan mulakan tugas Timbalan KPN

KUALA LUMPUR 10 Julai – Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) Ayob Khan Mydin Pitchay memulakan tugas rasminya hari ini sejurus tiba di Menara 1, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini.

Beliau yang baharu kembali dari tanah suci Makkah pada 6 Julai lalu bersama isteri,  Zalena Mohd Ariffin merangkap Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia tiba di pintu masuk utama Bukit Aman pukul 8.00 pagi ini.

Ketibaannya ,diberikan “Guard Turn Out” oleh anggota Cawangan Kem Komandan, Bukit Aman, sebelum kenderaan rasminya berhenti di lobi utama Menara 1.

Ayob Khan kemudiannya disambut oleh Setiausaha Polis Malaysia, Noorsiah Mohd Saaduddin bersama barisan Ketua Urus Setia KPN sebelum diiringi ke tingkat 31 yang menempatkan pejabat rasmi KPN dan timbalannya.

Jadual tugas beliau hari ini dimulakan dengan bacaan doa selamat yang berlangsung dekat Pejabat KPN dengan dipimpin oleh Penolong Pengarah (Psikologi dan Kaunseling) Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Zakarim Abdullah @ Zakaria yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara,  Razarudin Husain.

Ayob Khan yang masih memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dilantik sebagai Timbalan KPN, berkuatkuasa 22 Jun lalu selepas mengambil alihnya daripada Razarudin.

Related posts

Leave a Comment