Istana ulangi bersidang secepat mungkin

KUALA LUMPUR 29 Jan – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ditetapkan kerajaan dan Parlimen.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang .

Ini bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat,  Azhar Azizan Harun bersama timbalan mereka di Istana Negara.

Semasa sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin.

Related posts

Leave a Comment