SEREMBAN 1 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan hari ini, genap lima tahun selepas Persidangan DUN yang pertama diadakan pada 1 Julai 2018, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.
Pembubaran DUN yang mempunyai 36 kerusi itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan tidak lama lagi.
Menteri Besar Aminuddin Harun pada Rabu mengumumkan tarikh pembubaran DUN itu, setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, bagi memberi laluan PRN.
Pada PRU14, Pakatan Harapan(PH) dipimpin Aminuddin menguasai 20 kerusi iaitu DAP dengan 11 kerusi, PKR (enam) dan Amanah (tiga) manakala Barisan Nasional (BN) memenangi 16 kerusi dengan 15 daripada UMNO manakala MIC, satu.
Sepanjang penggal itu, satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan iaitu DUN Rantau berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan penyandang kerusi Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad menerusi petisyen memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun 2018, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada PRU14 terbatal dan tidak sah.
Bagaimanapun, PRK Rantau pada 13 April 2019 menyaksikan Timbalan Presiden UMNO itu berjaya mempertahankan kerusi tersebut, dengan kemenangan majoriti 4,510 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon PH Dr S. Streram dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi serta bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.
Selain Negeri Sembilan, lima lagi negeri yang akan terlibat dengan PRN ialah Kelantan yang membubarkan DUN pada 22 Jun, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun.
