Rapatkan ukhwah, erat hubungan

SEPANG 28 Jun – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1444 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Selangor.

Baginda mengingatkan bahawa Aidiladha mengajar kita agar mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT dan sanggup berkorban untuk membantu yang miskin serta menginsafi nasib golongan yang lebih daif.

Melalui catatan di Facebook Selangor Royal Office, baginda berdua yang sedang menyempurnakan ibadah haji menyeru umat Islam bersama-sama menyempurnakan tugas dan tanggungjawab sebagai orang Islam yang patuh kepada ajaran Allah SWT dengan merapatkan ukhwah dan mempererat hubungan silaturahim.

Baginda turut berdoa agar jemaah Haji Malaysia di Tanah Suci dapat melakukan ibadah mereka dengan sempurna dan dikurniakan Haji yang mabrur seterusnya kembali ke tanah air dengan selamat.

“Semoga pengalaman mengerjakan ibadah Haji dapat dimanfaatkan agar menjadi insan yang lebih tawadduk serta mampu memperkukuh dan meningkatkan tahap keimanan dalam diri. Selamat Hari Raya Aidiladha,” menurut catatan itu.

Related posts

Leave a Comment