KUALA LUMPUR 28 Jun – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Pengerusinya Tan Sri Idris Jusoh yang berjaya mencatatkan pelbagai kejayaan dalam tempoh tiga tahun perkhidmatan.
Dalam kenyataannya, Felda berkata, Idris telah mengangkat Felda kembali gemilang dengan pelbagai kejayaan dikecapi agensi ini serta warga peneroka.
“Antara kejayaan paling besar ialah peningkatan produktiviti ladang peneroka yang meningkat lebih dua tan perhektar setahun, iaitu daripada 17.29 tan perhektar pada 2021 kepada 19.43 tan perhektar pada 2022,” kata kenyataan itu.
Peningkatan hasil ini secara langsung turut meningkatkan pendapatan warga peneroka.
“Tan Sri juga membawa paradigma baharu yang menyokong komuniti peneroka menjadi komuniti yang memberi berbanding menerima. Ini dibuktikan dengan penubuhan Waqaf Felda yang mengumpul dana hampir RM30 juta termasuk daripada warga peneroka,” kata kenyataan itu.
Bagi memperkasakan pendidikan generasi baharu Felda, Idris memperkenalkan inisiatif Felda Digital Maker Hub: Coding & Robotic, kelas pintar serta menaik taraf MRSM Felda sebagai sebuah MRSM Ulul Albab.
Inisiatif ini memberikan peluang kepada generasi baharu FELDA untuk mendapat pendidikan berkualiti yang mampu meningkatkan mobiliti sosial mereka.
Menurut kenyataan itu lagi, usaha dan inisiatif Idris menjadi bukti komitmen beliau mentransformasikan Felda sebagai agensi perladangan terbaik yang menjaga kebajikan komuniti peneroka.
Idris akan menamatkan perkhidmatan lebih awal sebagai Pengerusi Felda pada 30 Jun ini walaupun tempoh lantikannya berakhir tahun depan.
