Kerusi Marang sah, Kuala Terengganu batal

KUALA TERENGGANU: Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang selepas Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Presiden Pas itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Bagaimanapun dalam satu keputusan lain, Mahkamah Pilihan Raya di sini, membatalkan kemenangan calon Pas, Ahmad Amzad Hashim bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon BN, Mohd Zubir Embong.

Bagi kerusi Marang, Hakim Mahkamah Tinggi, Hassan Abdul Ghani, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, mendapati pihak pempetisyen, Jasmira Othman, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Hassan turut mengarahkan pempetisyen yang juga calon BN di Parlimen Marang pada PRU15, diwakili peguam, Mohd Hafarizam Harun, membayar kos RM50,000 kepada pihak Abdul Hadi.

Peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mewakili Abdul Hadi, berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan berkenaan yang disifatkan wajar dan menyeluruh.

Katanya, seramai 10 orang saksi dipanggil oleh pihak pempetisyen dan tiga orang saksi bagi pihak responden.

“Konklusi yang dibuat Yang Arif Hakim (adalah) pempetisyen telah gagal membuktikan kes mereka pada tahap keraguan yang munasabah.

Oleh sebab itu tidak ada, (jadi) beban itu tidak beralih kepada pihak responden untuk membuktikannya satu kes prima facie.

“Kalau dalam kes jenayah itu, dia panggil tidak dipanggil bela diri tapi oleh kerana petisyen ini separa jenayah, maka responden memberikan keterangan juga.

“Jadi keterangan responden itu telah meyakinkan dan diterima mahkamah, maka petisyen itu tidak diterima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas keputusan petisyen berkenaan.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemamannmengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Said, berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15 lalu, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Dr Zarawi Sulong.

Sementara itu, bagi kerusi Kuala Terengganu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Beliau berkata, walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, bukti-bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan kerusi bagi Parlimen Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar kos sebanyak RM50,000 kepada pihak pempestiyen.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungan responden sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Ahmad Amzad diwakili peguam, Wan Rohimi Wan Daud manakala peguam, Mohd Hafarizam mewakili Mohd Zubir.

Sementara itu, Mohd Hafarizam berkata, Hakim Mahkamah Pilihan Raya telah membuat dapatan wujudnya unsur rasuah sekiranya pemberian bantuan dibuat dalam tempoh waktu berkempen.

“Yang Arif dalam kes Kuala Terengganu juga telah membuat satu dapatan yang menyatakan minda pengundi yang menerima wang itu tidak relevan tetapi yang penting ialah situasi di mana pemberi itu memberi wang untuk meraih undi,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rohimi berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan rasmi bagi pergantungan Ahmad Amzad sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

“Jadi kalau dia (Hakim) bagi pergantungan penuh, keputusan hari ini digantung (itu) tidak berkuat kuasa, jadi tidak akan ada pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan semua sekali,” katanya.

Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas memperoleh 63,016 undi sekali gus menewaskan Mohd Zubir (22,109 undi), calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi) dan calon PH, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (10,946 undi).

Related posts

Leave a Comment