PUTRAJAYA 21 Jun – Raja Petra Kamarudin menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau sebagai pengecut untuk balik ke Malaysia.
Penulis blog kontroversi itu sebaliknya mendakwa kerajaan tidak membenarkannya pulang ke tanah air kerana dikatakan boleh membawa bahaya kepada kerajaan.
Katanya, pelbagai cara sudah dilakukan untuk pulang ke Malaysia sejak 2013, termasuk mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika di bawah pentadbiran Najib Razak.
Beliau juga mendakwa turut mengadakan rundingan dengan dua menteri Kabinet serta Bukit Aman untuk membantunya pulang ke negara ini.
“Pengkritik menghina saya dan kata saya pengecut untuk balik ke Malaysia, yang sebenarnya saya cuba balik banyak kali tetapi dihalang.
“Saya juga sudah balik ke Malaysia (secara) simbolik, saya pergi ke Kedutaan Malaysia di Bangkok, Kedutaan Malaysia di Jakarta, Kedutaan Malaysia di Singapura serta London. Lebih tujuh hingga lapan kali.
“Mereka tidak tangkap saya pun, kalau nak kira saya boleh ditangkap bila masuk ke kedutaan. Tetapi tiada kes terhadap saya dan saya bukannya pelarian. Boleh semak nama saya dalam laman sesawang Interpol (Polis Antarabangsa) di bawah Notis Merah, memang tiada. Jho Low ada,” katanya melalui video di Facebooknya semalam.
Pada 2009 media melaporkan, Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah melalui laman webnya.
Raja Petra turut mendakwa, kerajaan tidak mahu beliau pulang kerana takut akan mengganggu gugat keamanan negara.
“Mereka (kerajaan) takut saya akan beri bahaya kepada kerajaan, itu alasan yang diberikan. Mereka lebih nak saya duduk di London, biarlah saya menulis atau buat video asalkan saya tidak turun padang ceramah di kampung atau merata tempat dan kerajaan akan menghadapi masalah.
“Kerajaan takut saya buat ‘roadshow’, kalau saya ceramah boleh tarik sehingga 30,000 penonton dan jumlah itu akan bertambah sehingga 50,000 pada musim Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN). Jadi bukannya saya tidak mahu balik, cuma kerajaan tidak membenarkan,” dakwanya lagi.
Raja Petra bagaimanapun berkata, pasportnya masih aktif dan boleh memperbaharuinya pada bila-bila masa.
“Saya minta bantuan Zahid dan beliau kemudiannya minta bantuan kepada Jabatan Imigresen dan pihak kedutaan. Saya masih boleh memperbaharui pasport ini, kalau saya tidak mampu ke London, dia akan hantar pegawai ke rumah saya dan itu adalah arahan TPM,” katanya.
