Sulu: Polis mula siasatan kesalahan sabotaj

KUALA LUMPUR 14 Jun –  Polis sudah memulakan siasatan terhadap pihak yang membuat tuntutan, penimbang tara, peguam serta pihak berkaitan tuntutan Kumpulan Sulu yang kini disiasat mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, tibdakan yang akan diambil adalah berasaskan undang-undang dan tiada sebarang penindasan terhadap mana-mana pihak.

Beliau juga menegaskan kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jenayah terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang memberi sokongan, bantuan secara langsung dan tidak langsung serta bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan ke atas Sabah seperti yang didalangi Kumpulan Sulu.

Anwar berkata demikian pada sesi penerangan status terkini tuntutan dari lapan warga Filipina yang mendakwa waris Sultan Sulu di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, Malaysia akan terus memastikan naratif yang sahih disebarkan kepada semua orang termasuk komuniti antarabangsa melalui laman sesawang rasmi kerajaan dan platform tertentu.

“Kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam bertindak secara proaktif bagi menamatkan isu tuntutan ini selain memastikan kepentingan Malaysia serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan kerajaan akan terus berjuang melindungi, memelihara kepentingan, kedaulatan Malaysia dalam isu tuntutan Sulu.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh anggota Dewan Rakyat, beliau menjelaskan tiada bukti pembabitan dan campur tangan Kerajaan Filipina dalam isu tuntutan Sulu.

Sebelum ini terdapat laporan menyatakan kerajaan sedang menyiasat kemungkinan wujud ‘tali barut’ dalam kalangan rakyat negara ini yang membantu dalam kes kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, tidak menolak kemungkinan orang dalam menjadi dalang dalam tuntutan kumpulan Sulu itu, berdasarkan tuntutan tanpa henti mereka atas syarikat berkaitan kerajaan Malaysia di luar negara.

Sebelum ini, Malaysia memutuskan mengambil beberapa tindakan perundangan melalui proses mahkamah di Perancis bagi terus mempertahankan kedudukan dan pendirian negara dalam mencabar tuntutan kumpulan Sulu.

Related posts

Leave a Comment