148 tahun tunggu giliran tunai haji

MAKKAH: Tempoh menunggu untuk menunaikan ibadah haji bagi pendeposit yang baharu mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) kini meningkat kepada 148 tahun, kata Pengarah Eksekutif Haji TH,  Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia, berkata mereka adalah sebahagian daripada 3.8 juta bakal jemaah di Malaysia yang sedang menanti tawaran untuk mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

Justeru, Syed Saleh mengajak jemaah haji negara pada musim 1444H/2023M untuk sama-sama bersyukur kerana terpilih dalam kalangan jutaan umat Islam yang beratur panjang untuk menjadi ‘tetamu’ Allah SWT di Tanah Suci.

Berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Pelantikan Sahabat Maktab bagi Maktab 79 serta 80, di sini, semalam, beliau menekankan tentang syukur dan sabar, sebagai panduan kepada jemaah dalam menempuhi cabaran sebagai Dhuyufurrahman.

Katanya dua kata kunci syukur dan sabar ini sangat penting serta perlu dipegang bersungguh-sungguh pada setiap masa dan dalam apa jua keadaan, walaupun bukan mudah.

“Pertama, bersyukur kerana terpilih untuk menunaikan haji tahun ini selepas menanti sekian lama ketika masih begitu ramai yang masih menunggu giliran mereka.

“Malah, semakan tawaran secara rasmi juga dipermudahkan sekarang dengan penggunaan aplikasi THiJARI, berbanding dulu yang mana jemaah terpaksa menunggu surat dihantar melalui pos,” katanya.

Sementara itu, sistem pendaftaran haji sedia ada yang berdasarkan konsep ‘Mendaftar Dahulu, Didahulukan’, telah dilaksanakan sejak 1995.

Melalui sistem pendaftaran terbuka berkenaan, setiap pendeposit TH boleh mendaftar menunaikan haji apabila simpanan mencecah RM1,300.

Setiap pendeposit yang telah mendaftar akan diberi giliran tahun peruntukan menunaikan haji berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat.

Sekiranya jumlah pendeposit yang baharu mendaftar haji pada satu-satu jangka masa itu adalah tinggi, maka tempoh menunggu giliran berkenaan akan menjadi semakin lama.

Untuk rekod Malaysia menerima kuota haji berjumlah 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1444 Hijrah ini.

Related posts

Leave a Comment