UMNO harap Kongres Ekonomi Melayu cetus idea baharu

PUTRAJAYA 14 Jun – Kongres Ekonomi Melayu yang bakal dianjurkan oleh sayap Pemuda dan Puteri UMNO diharap dapat mewujudkan resolusi untuk penambahbaikan pelan ekonomi yang menyeluruh.

Presiden UMNO,  Ahmad Zahid Hamidi berharap, kongres dapat melontarkan pelbagai idea baharu dan di luar kotak bagi mempertingkatkan kekuatan ekonomi Melayu dan menangani ketaksamaan ekonomi tersebut.

“Resolusi dan pelan ekonomi ini akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Menurut Ahmad Zahid, walaupun negara berjaya mengurangkan kemiskinan selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB), jurang kekayaan masih tinggi dan kadar kemiskinan ialah 5.6 peratus manakala bandar 3.8 peratus dan di luar bandar 12.4 peratus (2019).

“Begitu juga jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar. Purata pendapatan negara ialah RM 7,901 manakala bandar ialah RM 8,635, di luar bandar pula ialah sebanyak RM5,004 pada tahun 2019. Jurang kemiskinan perlu ditangani bagi mengelak ketidakstabilan ekonomi, politik dan sosial.

“Jurang ekonomi yang tinggi diikuti literasi politik yang rendah akan mewujudkan kelompok seperti ‘Trumpism’ di Amerika Syarikat atau munculnya golongan politik memperalatkan golongan mangsa jurang ketaksamaan dengan retorik agama dan etnik sedangkan ia perlu ditangani dengan dasar ekonomi yang lebih efisyen,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri yakin kongres yang akan dipantau oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan itu adalah manifestasi kepercayaan kepada pelapis kepemimpinan muda sebagai bakal pemimpin negara pada masa akan datang.

Katanya, isu ini sangat dekat dengan orang Melayu yang memerlukan pendekatan, strategi, dasar, pelan, visi, tekad yang lebih segar bagi mendepani ekonomi Melayu dan negara secara keseluruhannya.

Justeru katanya, ekonomi Melayu amat penting diberikan tumpuan kerana sebarang jurang dan ketidaksamaan akan turut menjejaskan negara.

“Hal ini adalah kerana Melayu dan Bumiputera adalah kelompok etnik majoriti negara dan sekiranya isu ketaksamaan ekonomi berterusan, tidak ditangani secara menyeluruh ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara keseluruhan kerana Melayu dan Bumiputera mewakili 69.7 peratus populasi negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment