Andalusia Travel, Turkish Airlines meterai perjanjian

KUALA LUMPUR 14 Jun – Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) menawarkan 7,000 tempat jemaah umrah dan pelancong ke Turkiye melalui Turkish Airlines bagi musim umrah 1444 H (2023/2024) yang bermula Julai ini.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel, Ida Riswana Idris, berkata, pihaknya sekali lagi memilih Turkish Airlines sebagai syarikat penerbangan umrah melalui Perjanjian Penerbangan yang bernilai RM29 juta.

Katanya, jalinan kerjasama dengan Turkish Airlines (Singapura) bermula pada tahun 2010 dan selepas itu dengan Turkish Airlines Malaysia mulai 2013 sehinggalah sekarang.

“Hasil kerjasama lebih 13 tahun ini, Andalusia saban tahun berjaya menerbangkan hampir 10,000 rakyat Malaysia ke Turkiye, sama ada bagi tujuan pelancongan mahupun ziarah Istanbul Bursa sebelum mengerjakan umrah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Penerbangan Turkish Airlines bagi Musim Umrah 2023/2024 di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Negara Turkish Airlines, Muhammed Hamza Arslan, Pengurus Jualan TK Zeynab Soumez, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel Datuk Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia Travel Ibrahim Mat Sin.

Menurut Ida Riswana, pihaknya memilih Turkish Airlines sebagai rakan kerjasama kerana syarikat berkenaan menyediakan penerbangan ke pelbagai destinasi dan tidak terhad ke Turkiye semata-mata.

Katanya, syarikat itu menjadi hab utama pelancong untuk ke negara lain dan tidak memerlukan banyak transit untuk ke satu-satu lokasi termasuk Eropah.

Beliau berkata, Andalusia berjaya menjual lebih 81 peratus dari Perjanjian Protokol 1444H dan berharap perjanjian hari ini dapat membantu umat Islam khususnya yang ingin menjejaki sejarah Islam di Turkiye seterusnya menunaikan umrah.

Katanya, amat penting bagi jemaah atau mereka yang mahu melancong memilih pengendali yang benar-benar bersedia dari awal dengan tiket penerbangan serta hotel atau penginapan supaya perjalanan tidak menimbulkan masalah.

“Dari sudut prinsip kami tidak boleh menjual apa-apa ‘barangan’ selagi barang itu tidak ada, “ katanya merujuk kepada jaminan tiket penerbangan dan penginapan yang tersedia.

Sementara itu, Muhammed Hamza berkata, bermula 8 Ogos ini pihaknya akan meningkatkan kekerapan penerbangan iaitu 12 penerbangan setiap minggu diikuti 14 pada September berbanding ketika ini sebanyak 10 penerbangan.

“Kami mengucapkan terima kasih dengan kepercayaan yang diberikan oleh pihak Andalusia Travel kepada Turkish Airlines,” katanya.

Beliau yakin, dua pakej umrah yang menarik pada tahun ini, iaitu Umrah dan Ziarah Istanbul serta Umrah dengan separuh hari melawat Istabul, akan memberikan pengalaman yang berbeza kepada pelanggan.

“Malah, kami mengambil peluang ini untuk menggalakkan pelanggan untuk melakukan perjalanan dan memanfaatkan perjalanan di luar Istanbul.

“Program persinggahan yang disediakan juga akan menyediakan penginapan percuma di Istanbul bagi penumpang yang berminat untuk berbuat demikian,” katanya.

Related posts

Leave a Comment