KUALA LUMPUR 27 Jun – Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, untuk menghentikan pilihan raya kecil DUN itu daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.
Peguam, Chetan Jethwani, yang mewakili Bersatu memberitahu media, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, membuat keputusan itu selepas memutuskan tiada kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kerana Mohd Azizi boleh menyertai pilihan raya kecil itu.
Selain itu, mahkamah menyatakan bahawa injunksi sementara itu tidak boleh diberi bagi menghalang SPR daripada menjalankan tugasnya mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Chetan Jethwani berkata, permohonan injunksi penuh akan didengar pada 28 Ogos ini.
Mohd Azizi diwakili peguam, Rajan Navaratnam, manakala SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly dalam prosiding berlangsung dalam kamar hari ini,
Mahkamah turut memerintahkan Mohd Azizi membayar kos RM7,000 bagi setiap defendan.
Dalam saman pemula yang difailkan pada 25 Jun lalu, Mohd Azizi selaku plaintif menamakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Abdullah dan SPR selaku defendan.
Beliau memohon perisytiharan untuk menghentikan SPR daripada mengadakan pilihan raya di kawasan DUN berkenaan dan memohon perisytiharan bahawa kerusi DUN itu adalah tidak kosong dan masih disandang olehnya.
Mohd Azizi juga memohon perisytiharan bahawa pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Nenggiri tidak boleh dijalankan dan dilakukan oleh SPR kerana ia masih disandang olehnya.
Beliau juga memohon, perisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahliannya dalam Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah pemecatan yang tidak sah.
Mohd Azizi juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman daripada Mohd Amar kepada SPR bahawa kerusi ADUN Nenggiri kosong, digantung perlaksanaannya.
Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman itu adalah tidak sah dan batal, dan pemecatan jawatannya daripada Bersatu adalah berniat jahat.
Mohd Azizi dalam tuntuan itu menegaskan bahawa pindaan kepada Fasal 10 perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan.
Sementara itu berikutan keputusan itu,Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri yang dijadualkan esok bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya bagi kawasan berkenaan.
Nnnn
