UMNO cadang SEGiM, Pelan Felda 5.0, segerakan HSR

KUALA LUMPUR 9 Jun – Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dan Pelan Felda 5.0 antara lima cadangan dikemukakan UMNO dalam usaha menangani keresahan rakyat berhubung pembangunan ekonomi di negara ini.

Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, SEGiM bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig serta menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi itu bermula daripada peringkat penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna.

Beliau berkata, sektor ini kian berkembang pesat di negara ini dengan lebih 1.12 juta pekerja gig berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), tambahan pula lebih 80 peratus daripada pengguna ekonomi gig terdiri anak muda.

“Jangan kita kesampingkan arus evolusi digital yang menguasai pasaran ekonomi internet Malaysia yang telah mencapai transaksi multi-bilion sehingga mencecah RM52.4 bilion pada 2020 saja.

“Saya percaya dengan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig ini, akan memberi sinar baharu buat pemain ekonomi gig serta adik-adik Grab, LalaMove, Food Panda di luar sana,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata ia juga akan membolehkan kerajaan menstrukturkan sistem percukaian ekonomi gig yang menyaksikan pengaliran besar aliran tunai melalui perkhidmatan ini ke luar negara.

Berhubung pelan Felda 5.0, beliau berkata ia bertujuan menyediakan perancangan untuk generasi kelima Felda dengan tumpuan membabitkan penyediaan pendidikan berkualiti, peluang keusahawanan, akses kepada teknologi, kemahiran yang bersesuaian dan perancangan perumahan yang selesa buat mereka.

“Melalui cadangan ketiga, kerajaan perlu memastikan pengagihan ekonomi dan kekayaan negara dapat dikongsi bersama khususnya buat masyarakat desa.

“Melalui proses urbanisasi, kerajaan mestilah merencana kemasukan industri-industri strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi kampung dan desa.
Langkah ini juga ikhtiar kita untuk menoktahkan soal kemiskinan yang masih melingkari kehidupan rakyat di perdesaan,” katanya.

Bagi cadangan keempat UMNO menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan semula pembangunan High Speed Rail (HSR) yang dimulakan Perdana Menteri keenam (Datuk Seri Najib Razak), tetapi dikaji semula oleh Perdana Menteri Ketujuh (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan dibatalkan Perdana Menteri kelapan (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Insya Allah kita yakin akan terlaksana di bawah Perdana Menteri ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Kita juga mahu agar pembinaan ECRL (Projek Laluan Rel Pantai Timur) dan Pan Borneo untuk manfaat rakyat Sabah dan Sarawak disiapkan mengikut jadual, supaya kemudahan ini menjadi pemangkin kawasan pertumbuhan baharu yang dapat menjana ekonomi, peluang pekerjaan dan membangunkan perusahaan-perusahaan kecil,” katanya.

Cadangan kelima pula, katanya, UMNO mahu kerajaan memastikan kebajikan penjawat awam dan pasukan keselamatan terus terbela khususnya dalam aspek perumahan, bebanan tugas guru, perlindungan hak sebagai pekerja dan memastikan pasca pandemik ini, perkhidmatan kesihatan dipertingkatkan termasuk menyelesaikan isu perkhidmatan doktor kontrak.

“Saya yakin falsafah kebajikan bermula di rumah akan dihargai oleh semua,” katanya .

Related posts

Leave a Comment