“Bossku” : UMNO mahu keadilan

KUALA LUMPUR 9 Jun –  Laungan “Bossku” bergema di Dewan Merdeka selepas Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut nama bekas Perdana Menteri itu dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023) hari ini.

Beliau menegaskan UMNO mahukan keadilan buat Datuk Seri Najib Razak dan menyatakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendoakan dan mengharapkan Kerajaan Perpaduan menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Kita berikan semangat walaupun beliau tidak ada bersama kita secara fizikal, jiwa dan roh beliau tetap bersama kita.

“Semangat beliau tetap bersama dengan kita. Kita berikan laungan bersemangat untuk beliau.

Kita mahukan keadilan untuk Datuk Seri Najib Razak. Kita mahu keadilan diberikan kepada beliau sebagai seorang manusia,” katanya dalam ucapan tersebut.

Dewan juga bergema dengan laungan ‘Allahuakbar’ dan ‘Bebaskan Bossku’ daripada ribuan penyokong.

Beliau turut berkongsikan rakaman video anak Najib, Datuk Mohd Nizar yang menegaskan ayahandanya sentiasa menyokong Kerajaan Perpaduan dan institusi Presiden UMNO.

“Apa yang saya ingin tegaskan di sini, ayahanda saya tidak pernah mengeluarkan arahan untuk kita serang institusi Presiden atau mana-mana komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dia tidak pernah menyatakan sedemikian malah beliau tuntut supaya kita setia dengan parti UMNO dan menghormati Institusi Presiden UMNO yang kini diterajui oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden kita sekarang.

“Itu pesanan beliau,” katanya menerusi rakaman video di hadapan ribuan perwakilan UMNO yang kemudiannya mengundang sebak.

Ahmad Zahid turut kelihatan sebak dan meneguk air untuk menenangkan diri sebelum meneruskan ucapannya.

“PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim), lihatlah sendiri apa yang dinyatakan itu authentic.

“Kita di sini, beliau (Najib) di sana, saya yakin semangat beliau tetap bersama dalam Dewan Merdeka ini,” katanya.

Katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan menyatakan pendirian Umno tetap berusaha memberi keadilan kepada Najib.

“Kepada Datin Seri Rosmah Mansor dan keluarga, sabar…mudah-mudahan Allah SWT akan melunaskan segala doa. Kita semua bersama beliau dan ahli keluarga,” katanya.

Related posts

Leave a Comment