Dasar ampuh dilancar depani cabaran dunia

KUALA LUMPUR 5 Jun –  Beberapa dasar negara yang lebih kental dan ampuh akan dilancarkan bagi mendepani dunia yang masih bergelut dengan adu kuasa dan peperangan, perdagangan ekonomi sejagat semakin terbantut dan krisis iklim serta persekitaran yang berada di tahap genting.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, dasar itu merangkumi Pelan Perindustrian Negara yang akan dilancarkan pada Ogos ini, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada akhir September dan Belanjawan Madani kedua pada Oktober.

“Dalam semua kerangka besar yang bakal diluncurkan, akan menjadikan landasan tatakelola yang baik, telus dan bertanggungjawab,” katanya ketika merafak sembah ucapan tahniah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara 2023, hari ini.

Istiadat berkenaan berlangsung bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Anwar berkata, selain usaha pemulihan ekonomi, Kerajaan Perpaduan juga sedang menumpukan usaha menangani isu kos sara hidup, kenaikan harga barang, selain memastikan keterjaminan makanan yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia.

Katanya, beberapa pendekatan seperti Konsep Payung Rahmah, Karnival Jualan Aidilfitri, keusahawanan, inovasi sosial seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat adalah sebahagian ikhtiar membantu rakyat dan mendapat sambutan menggalakkan.

Malaysia katanya akan terus berperanan dengan lebih aktif dalam menyuarakan pendirian serta memelihara kepentingan negara pada forum antarabangsa, khususnya dalam isu kedaulatan negara, kemanusiaan, keselamatan dan pengurusan bencana.

“Sumbangan Tuanku dalam mengangkat kepentingan negara dalam bidang diplomatik dan pelaburan amat dihargai,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kebijakan ekonomi yang direncanakan Jemaah Menteri, penjawat awam dan sektor swasta, telah melonjak pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 5.6 peratus dan jumlah pelaburan RM71.4 bilion berjaya diperoleh pada suku pertama 2023.

Katanya, Belanjawan Malaysia Madani 2023 telah diluluskan sebulat suara pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 lalu.

“Bertambah ampuh tekad ke arah pelaksanaan tiga tekad dan 12 ikhtiar utama Belanjawan Madani, terutama dalam bidang keterjaminan makanan, ekonomi digital, peranan industri kecil dan sederhana (IKS) dan menoktah kemiskinan tegar,” katanya.

Beliau berkata, berbekalkan tekad dan semangat ‘Membangun Malaysia Madani’,
kerajaan beriltizam untuk berusaha dengan tekun memacu pertumbuhan, sekali gus mempertahankan keadilan dan nilai murni manusiawi.

Related posts

Leave a Comment