Bukan isu Pemuda UMNO tidak jemput parti lain

KUALA LUMPUR 4 Jun –  Keputusan Pemuda UMNO tidak menjemput wakil parti lain dalam Kerajaan Perpaduan menghadiri persidangan pergerakan itu minggu hadapan, bukanlah satu isu atau satu kesalahan.

Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin menegaskan walaupun Pemuda tidak menjemput tetapi wakil-wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan dijemput menghadiri kemuncak program, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

“Ia bukan satu kesalahan, tak jadi masalah. Bukannya wajib pun (jemput wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan hadir persidangan Pemuda UMNO) sebab perhimpunan agung peringkat UMNO Malaysia sudah jemput, jadi saya rasa tidak perlu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Jom Masuk U 2023 di Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Kelmarin, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh memaklumkan, pergerakan itu tidak menjemput wakil mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan hadir perhimpunan sayap berkenaan sempena PAU 2023.

Katanya lagi, ia keputusan diambil secara sebulat suara menerusi undian oleh semua barisan Exco dan Ketua Pemuda UMNO negeri.

Sementara itu, Mohamed Khaled menganggap kritikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,  Dr Mohd Puad Zarkashi terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli selaras dengan sifat keterbukaan dalam suasana politik negara ketika ini.

“Kritikan itu jika didengar adalah bersifat matang. Suasana politik yang ada dalam negara pada masa sekarang lebih kepada keterbukaan dan saya percaya semua, sama ada yang mengkritik dan mendengar, akan mengamalkan sikap terbuka dan matang,” katanya.

Puad menerusi hantaran di Facebook sebelum ini mempersoalkan langkah signifikan diambil Rafizi bagi memulihkan ekonomi negara, terutama menangani kesan kejatuhan nilai ringgit.

Beliau berpendapat, Rafizi yang juga Ahli Parlimen PKR Pandan perlu sekurang-kurangnya memperkenalkan dasar baharu, iaitu ekonomi rakyat.

Mohamed Khaled juga yakin ia dapat diselesaikan dengan baik sesama kedua-dua pemimpin itu.

“Itu (isu) antara mereka berdua, kalau saya masuk campur jadi bertiga dan kacau bilau, jadi tak perlulah, tapi saya percaya yang memberi (mengkritik), niatnya baik dan yang sambut (dikritik) pun baik. Jadi semuanya akan baik” katanya.

Related posts

Leave a Comment