Erdogan angkat sumpah Presiden

ANKARA: Recep Tayyip Erdogan mengangkat sumpah sebagai Presiden Turkiye untuk penggal ketiga semalam selepas memenangi pilihan raya yang berlangsung pada hujung minggu lalu.

Dalam majlis angkat sumpah yang berlangsung di Parlimen itu, pemimpin paling lama Turkiye itu menyatakan komitmen untuk memastikan perkhidmatannya untuk tempoh lima tahun lagi ‘tidak berat sebelah’.

“Saya sebagai presiden, bersumpah atas kehormatan dan integriti saya di hadapan negara dan sejarah besar Turkiye untuk menjaga kewujudan dan kemerdekaan negara,” katanya.

Terdahulu, Erdogan menerima mandatnya daripada Speaker Parlimen interim sebelum mengangkat sumpah.

Pemimpin berusia 69 tahun itu memenangi 52.2 peratus sokongan dalam undian terakhir pada 28 Mei.

Kemenangannya dalam pilihan raya menafikan kebanyakan tinjauan pendapat, malah hadir di sebalik krisis kos sara hidup yang dilihat berisiko menjejaskan peluangnya untuk menang.

Selepas majlis angkat sumpah, upacara diteruskan di istana presiden yang dihadiri pegawai peringkat tinggi dari 78 negara dan organisasi antarabangsa, termasuk Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg; Presiden Venezuela Nicolas Maduro; Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban dan Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan, menurut Agensi Anadolu yang dikendalikan kerajaan.

(Foto fb Erdogan)

Related posts

Leave a Comment