KUALA LUMPUR 2 Jun – Pengerusi Yayasan Albukhary, Syed Mokhtar Albukhary secara terbuka mendedahkan hubungan akrab dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai ‘abang’.
Berkongsi ‘untold story’ tersebut, tokoh perniagaan yang merupakan antara individu terkaya di Malaysia itu berkata, beliau pertama kali bertemu dengan Anwar pada 1984, yang ketika itu adalah Menteri Pertanian.
Syed Mokhtar, ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan? berkata, Anwar telah membuka peluang kepada Bumiputera untuk mendapatkan sokongan melalui Dasar Ekonomi Baharu.
“Hari ini merupakan adalah hari istimewa buat saya … Ini pertama kali saya menyampaikan ucapan (berhubung Anwar) di khalayak ramai.
Saya minta maaf jika anda bosan tetapi saya rasa penting untuk berkongsi mengenai ‘untold story’ ini.
“Hari ini, saya ingin menceritakan pengalaman yang belum pernah diceritakan mengenai ‘abang’, di mana kali pertama saya berjumpa dengan beliau yang membawa harapan serta impian tinggi.
“Beliau yang saya anggap sebagai pembaca, pemikir dan berfalsafah. Beliau tidak lain tidak bukan ialah tetamu yang hadir, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau sudah menjadi ‘abang’ kepada ahli perniagaan lain juga,” tambahnya.
Syed Mokhtar menambah Anwar juga sentiasa cuba untuk menyelesaikan masalah dan percaya kepada bakat yang ada kepada bumiputera.
“Jika tidak kerana abang, tidak akan ada muzium, tak ada Albukhary yang menjadi tunggak kepada Yayasan Albukhary,” ujarnya.
“Saya dan Anwar mungkin mempunyai perbezaan tetapi masih wujud persamaan iaitu meminati perniagaan. Melalui perniagaan, kita mampu untuk melakukan amal dan membantu orang lain,” katanya.
Sementara itu, Anwar semasa menyampaikan ucapan perasmian memaklumkan, Syed Mokhtar bersetuju memberi bantuan menerusi Kerajaan Madani untuk membantu petani di negara ini.
Ujarnya, tokoh berpengaruh itu sangat baik hati walaupun berdepan dengan beberapa tindakan keras daripada kerajaan.
“Saya hanya menelefonnya (Syed Mokhtar) sehari selepas saya mengambil alih (jawatan Perdana Menteri), saya berkata ‘abang’ akan mencadangkan Bernas, (beri bantuan) yang menunjukkan bahawa kami kerajaan Madani membantu petani.
“Dia kata okay. Bulan November (saya minta), bulan Disember dia janji (bantuan) RM10 juta. Tahun 2023, dijanjikan RM50 juta (lagi) untuk diagihkan kepada pesawah miskin. Jadi, minat beliau bukan sahaja kepada seni, tetapi juga membantu orang miskin,” katanya.
