Perkongsian Adex bersama media konvensional

IPOH 28 Mei –  Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti permintaan industri media tempatan supaya membantu mendapat semula hasil perbelanjaan pengiklanan (Adex) yang ketika ini dibolot secara tidak adil oleh syarikat gergasi teknologi antarabangsa.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata, langkah itu bagi memastikan Adex dikongsi kepada media konvensional di Malaysia bagi memastikan media tempatan dan pekerja mereka, termasuk wartawan boleh terus bekerja.

Pada masa sama industri media tempatan juga kekal relevan serta tidak tertekan sehingga terpaksa ditutup kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi tetapi pendapatan terus merosot.

Gergasi teknologi merujuk kepada syarikat seperti Google dan META, yang membolot sebahagian besar hasil Adex dengan menggunakan kandungan yang dihasilkan syarikat media tempatan.

Katanya, pertimbangan yang boleh diusahakan adalah dari segi aspek percukaian yang dikenakan terhadap syarikat gergasi teknologi berkenaan.

Beliau berkata , ia sedang diteliti dengan lebih mendalam termasuk melalui beberapa kerangka awal yang sudah diterima pihaknya membabitkan mekanisma yang diguna pakai di negara lain.

“Saya sudah maklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bahawa hasil daripada sesi libat urus antara rakan-rakan media serta pihak KKD dalam beberapa urusan yang menyentuh isu ‘advertising expenditure’ (adex).

“Ia termasuk apa yang boleh diusahakan dari segi mungkin aspek sama ada percukaian atau usaha untuk mengembalikan serba-sedikit dana Adex atau pun pengiklanan kembali kepada media di Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang dihadiri Perdana Menteri di Hotel Casuarina @Meru, di sini hari ini.

Katanya lagi, bagi penelitian dan penyesuaian dengan keadaan di Malaysia, sebuah pasukan petugas dijangka akan dibentuk bagi proses libat urus yang lebih mendalam yang dijangka mengambil masa selama beberapa bulan.

“Sekiranya kita dapat manfaatkan dan usahakan dengan gigih, kita boleh bawa satu draf ke Pejabat Peguam Negara diikuti ke Jemaah Menteri. Ini bagi saya mungkin satu cara dan ikhtiar yang dapat kita usahakan bersama.

“Penting untuk saya sebutkan kerana sebelum ini kita belum pernah berusaha bersama dengan rakan-rakan industri media untuk melihat satu aspek seperti yang saya sebutkan mengenai Adex.

“Jadi saya harap rakan-rakan media selepas ini akan terus dapat memberikan idea, cadangan, pandangan dan kami di KKD akan berusaha mempercepatkan proses kerana kami sedar dan tahu ini antara perkara yang memang sangat diharap dan didambakan oleh rakan-rakan media,” katanya.

Fahmi juga memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa kini pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan draf Rang Undang-undang (RUU) bagi penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) dan akan dimajukan kepada Pejabat Peguam Negara untuk penelitian sebelum seterusnya diangkat ke Mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata, selepas diterima dan diluluskan di peringkat Jemaah Menteri, ia akan dibentangkan di Parlimen dengan jangkaan seawal-awalnya pada Oktober depan atau selewat-lewatnya pada sidang pertama  tahun depan.

Related posts

Leave a Comment