Kegiatan agama ambil masa

BEBERAPA kegiatan termasuk perhimpunan keagamaan akan mengambil masa yang lebih lama sebelum ia dibenarkan semula di Singapura, kata Menteri Pembangunan Negara, Lawrence Wong.

Beliau berkata kegiatan itu melibatkan jumlah ramai orang yang berkemungkinan berada dalam jarak dekat, biasanya di tempat tertutup atau berlangsung dalam waktu yang berpanjangan.

Berdasarkan pengalaman Singapura dan negara lain persekitaran seumpama itu boleh mendatangkan risiko lebih tinggi dan menjadi pencetus besar penularan atau atau ‘super spreader’.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) menerusi video semalam.

Mulai Jumaat ini (19 Jun) kebanyakan kegiatan dibenarkan untuk disambung semula apabila Singapura memasuki fasa kedua tempoh pascapemutus rantaian jangkitan Covid-19.

Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan menyenaraikan beberapa perkara yang belum dibenarkan termasuk khidmat serta perhimpunan keagamaan, tempat kebudayaan besar seperti perpustakaan dan muzium, dan tempat serta acara berskala besar seperti persidangan, pameran, konsert dan pameran perdagangan.

Begitu juga tempat hiburan seperti bar, kelab malam, karaoke, pawagam dan teater belum boleh dibuka manakala pembukaan semula tempat tarikan di dalam dan luar bangunan juga akan mengambil masa.

Fasa kedua turut membolehkan sehingga lima orang dalam satu kumpulan untuk menjamu selera di kedai makan.

Bagaimanapun pada tahap ini, muzik live dan tayangan video serta televisyen tidak dibenarkan di kedai makanan dan minuman.

Larangan itu supaya tidak wujud bunyi bising sehingga orang ramai berbual dengan lebih kuat daripada yang diperlukan, menyebarkan titisan sambil mereka makan atau berlengah-lengah dengan duduk lebih lama daripada yang diperlukan.

Di samping itu penjualan dan meminum arak perlu dihentikan pada pukul 10.30 malam.

Had kapasiti juga dikenakan di tempat awam lebih besar yang melibatkan banyak pergerakan orang ramai contohnya pusat membeli-belah di samping mengelak perhimpunan ramai atau barisan orang ramai yang beratur panjang di premis.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata: “Pada satu sisi, kami mahu membenarkan kegiatan masyarakat dan ekonomi untuk sambung semula tetapi pada sisi lain, kami mesti terus memastikan jangkitan di bawah kawalan”.

Related posts

Leave a Comment