KUALA LUMPUR 26 Mei – Kos perbelanjaan terkini bagi program Malaysia Madani termasuk pengiklanan dan promosi adalah sebanyak RM7.4 juta, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata sebahagian besar daripada peruntukan itu terutamanya kos pemasangan papan iklan menggunakan peruntukan pentadbiran kerajaan terdahulu.
Katanya, secara perbandingan, jumlah perbelanjaan yang pernah diperuntukkan untuk usaha promosi agenda nasional seperti Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) adalah sebanyak RM62 juta.
Seperti sedia maklum, Malaysia Madani merupakan agenda nasional yang didukung oleh pentadbiran dan kerajaan pada masa sekarang.
“Usaha untuk mempromosikan Malaysia Madani bukan bersifat eksklusif dan ianya dilaksanakan oleh semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan melalui platform dan medium yang bersesuaian.
“Inisiatif ini penting bagi meningkatkan penghayatan dan kefahaman rakyat mengenai aspirasi dan dasar semasa kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pecahan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sehingga kini bagi tujuan promosi dan pengiklanan jenama Malaysia Madani di seluruh negara.
Pada 15 Februari lalu, semasa menjawab soalan Aminolhuda Hasan (PH-Sri Gading), Armizan memberitahu, kos belanja jenama Malaysia Madani ketika itu adalah sebanyak RM489,216.
Kerajaan membelanjakan RM62 juta untuk menjenamakan slogan Keluarga Malaysia dibawah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk tempoh selama 14 bulan, jauh lebih tinggi berbanding kempen Malaysia Prihatin semasa Muhyiddin Yassin menjadi PM Kelapan iaitu sebanyak RM181,752.20.
