PRU15 : Tiada bukti PN terima dana judi

KUALA LUMPUR 25 Mei –  Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada bukti parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) menerima sumbangan daripada dana syarikat judi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata SPRM telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat tersebut.

“Walau bagaimanapun SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini.

SPRM menjalankan kajian terperinci mengenai dakwaan itu dan mendapati maklumat yang diterima terlalu umum serta tiada pihak boleh mengesahkannya. Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu status siasatan terhadap dakwaan parti-parti di dalam PN mendapat sumbangan dana judi ketika kempen PRU15.

Pada 5 Disember tahun lalu, beberapa media melaporkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Susulan dakwaan itu, Pas menuntut Perdana Menteri mengemukakan bukti dan menyifatkannya sebagai fitnah dan tidak berasas serta menganggapnya sebagai tuduhan liar semata-mata.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, juga menegaskan PN sedia mengambil tindakan undang-undang sekiranya Perdana Menteri gagal mengemukakan bukti terhadap tuduhan berkenaan.

 

Related posts

Leave a Comment