Ulama harus tegur kerajaan dengan ikhlas

SHAH ALAM 25 Mei –  Kerajaan sedia mendengar teguran ulama selagi ia dibuat dengan baik, bukan untuk mencerca, memfitnah dan menghukum, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ulama harus berani menegur kerajaan dengan ikhlas demi mengangkat martabat umat dan negara

Ini tiada perbezaan pendapat, ulama boleh tegur dengan baik, menghormati dan mendampingi supaya dapat diperbaiki dan itu ditekankan oleh ulama, bukan untuk mencerca, memfitnah dan menghukum.

“Apabila pimpinan (kerajaan) pula mendengar ulama bercakap dengan ikhlas, berani menegur dengan baik dan (kita sedia) terima dengan baik teguran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor hari ini.

Muzakarah itu dihadiri bekas Mufti Agung Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah dan Pengasas dan Pengetua Darul Musthafa di Yaman, Habib Umar bin Hafidz.

Anwar yakin segala teguran itu mampu meletakkan negara di landasan yang baik sekali gus mengangkat martabat umat sejajar dengan cita-cita Madani.

“Ada hal yang kadang-kadang kita setuju tetapi mungkin tidak dilaksanakan segera kerana keterbatasan di negara kita dan tahap kefahaman umat juga (menjadi) satu hal.

“Jadi kadang-kadang apa yang kita bicarakan itu ditafsirkan berbeza dan bukan kerana satu uslub (kaedah) dan ittijahat (aliran) dalam politik ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri meminta Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil ikhtiar menerbitkan semula himpunan 40 Hadis Imam Nawawi untuk diedarkan di sekolah seluruh negara.

Himpunan hadis terbabit dilihat mampu memberi perkembangan ilmu kepada murid serta pelajar khususnya beragama Islam.

“Cuma oleh kerana Prof Dr Ali Jum’ah (bekas Mufti Agung Mesir) menekankan mengenai 40 Hadis Imam Nawawi itu mungkin pihak Jakim dan KPM, sebagai sambutan ialah untuk mengambil ikhtiar menerbitkan semula supaya dapat dikirimkan di semua sekolah.

“Ini dapat dipastikan pelajar (Islam) diberikan perkembangan ilmu dan mungkin dengan syarahan yang baik juga,” katanya.

Anwar berkata, beliau melihat pengagihan himpunan hadis berupaya memberi kefahaman agama yang lebih baik, selain tidak menjadi sentimen, pertelagahan atau permusuhan sebaliknya mengangkat darjat dengan ihsan dan kasih sayang.

“Islam mesti ditegakkan dengan keyakinan dan ilmu, memahami, mendalami dan mengupas dengan sabar serta kasih sayang jadi sebab itu saya sambut (saranan Prof Dr Ali Jum’ah).

“Jadi cadangannya ialah kalau betul dengan kasih sayang, hormat sesama Islam, hormat manusia termasuk bukan Islam, jadi dia (Prof Dr Ali Jum’ah) kata lebih baik anak-anak muslim supaya dibekalkan dengan 40 hadis terbabit,” katanya.

Sementara itu melalui catatan Facebooknya, Anwar berkata, Syeikh Ali Jum’ah antara lain menyatakan perubahan yang baik oleh gandingan ulama-umara harus dimulakan daripada diri sendiri (ibda’ bi nafsi).

Beliau juga mengingatkan agar kita semua khususnya ulama-umara harus istiqamah pada waktu susah dan senang.

Habib Umar juga telah menyentuh kepentingan tarbiah keluarga melalui uslub yang betul sebagai asas kepada perkara yang lebih besar. Setiap kejayaan dapat dicapai hanya dengan pertolongan Allah SWT.

“Saya menekankan kepentingan untuk meneruskan majlis seperti ini yang menjunjung tradisi akliah melalui budaya ilmu agar memberi pencerahan dan kesedaran kepada masyarakat.

Keutamaan juga harus diberikan kepada pendekatan dakwah yang berhikmah melalui uslub atau manhaj yang tepat serta tidak mengelirukan,” kata Anwar.

Related posts

Leave a Comment