PM harap LIMA ‘23 kukuh hab aeroangkasa, maritim

LANGKAWI 24 Mei – Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini melahirkan harapan supaya Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23) akan mengukuhkan Malaysia sebagai hab serantau bagi industri aeroangkasa dan maritim.

Beliau  berkata dengan berbuat demikian akan membolehkan negara bergerak lebih dekat ke arah merealisasikan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kedua-dua menteri peneraju bersama LIMA ’23, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, serta pasukan masing-masing yang memacu inisiatif ini,” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena LIMA ’23, di sini hari ini.

Beliau turut memuji Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan pasukannya, khususnya Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) kerana berjaya menerajui buat julung kalinya SpaceTech Nexus di LIMA tahun ini.

Katanya, dengan adanya SpaceTech Nexus, menunjukkan bahawa LIMA ’23 adalah acara berfokuskan masa depan dan bersedia memainkan peranan dalam pertumbuhan teknologi angkasa yang dijangka mencapai nilai pasaran global US$10 trilion menjelang 2030.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, LIMA ’23 sudah mengukuhkan kedudukannya sebagai acara yang merangkumi sektor aeroangkasa dan maritim dari aspek ketenteraan dan awam.

Anwar dalam ucapannya turut memberi penghargaan atas sokongan daripada pelbagai rakan kongsi yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran acara dwitahunan berprestij itu.

“Menakjubkan dalam tahap sokongan dan pengiktirafan yang diberi kepada Malaysia dan saya juga harus menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan kita dari negara-negara yang mengambil bahagian dalam majlis ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kita,” katanya.

Anwar ditemani isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan walkabout melihat pameran statik yang mempamerkan beberapa aset pertahanan udara antaranya F/A18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia di landasan terbang atau tarmac berhadapan MIEC.

Perdana Menteri juga meluangkan masa untuk bertemu dengan barisan pasukan udara yang terlibat dalam pertunjukan aerobatik membabitkan lima negara iaitu Indonesia, China, Korea Selatan, Russia, Emiriyah Arab Bersatu.

Beliau turut melawat beberapa reruai di dalam MIEC sebelum dijadualkan menyaksikan majlis menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang turut berlangsung di pusat pameran berkenaan.

LIMA ’23 bertemakan “Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia” bermula semalam hingga 27 Mei dengan edisi kali ini melibatkan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan, masing-masing bagi sektor pertahanan dan komersial.

Kali terakhir acara dwitahunan itu diadakan pada 2019 dan ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment