LIMA ‘23 terbesar dalam sejarah

LANGKAWIn22 Mei – Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang bermula esok, dianggap sebagai terbesar dalam sejarah penganjurannya selepas berjaya menarik 525 pempamer mewakili 140 syarikat dari seluruh dunia.

Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan, berkata LIMA edisi ke-16 ini amat dinantikan ramai pihak memandangkan kali terakhir ia diadakan pada 2019.

“Berbanding dahulu (2019), kali ini lebih banyak penyertaan iaitu sebanyak 525 pempamer semuanya, selain penyertaan lima pasukan aerobatik terkemuka menjadikannya terbesar dalam sejarah.

“Pameran juga disertai 119 pesawat yang menyertai pameran statik dan aerobatik, selain 40 kapal tentera laut dari dalam dan luar negara,” katanya selepas meninjau persiapan segmen maritim di Resort World Langkawi (RWL) di sini, hari ini.

Mohamad berkata, LIMA ’23 juga bakal menyaksikan beberapa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani untuk kedua-dua sektor pertahanan dan komersial, bernilai mencecah RM18 bilion.

Bagi Kementerian Pertahanan saja RM10 billion manakala selebihnya membabitkan kementerian lain termasuk Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi lain yang terbabit sama dalam pameran kali ini.

Terdahulu, Mohamad tiba di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada pukul 10 pagi bagi meninjau persiapan gerai pameran segmen aeroangkasa, sebelum meninjau persiapan segmen maritim di RWL.

Penganjuran LIMA ’23 membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (Industri Pertahanan Maritim dan Aerongkasa) dan Kementerian Pengangkutan (Industri Komersil Maritim dan Aeroangkasa).

Related posts

Leave a Comment