KJ perlu masa sertai parti politik

KUALA LUMPUR 22 Mei – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, memerlukan  sedikit masa bagi mempertimbang tawaran menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, seperti ditawarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Menteri Kesihatan itu mengakui bukan mudah membuat keputusan berhubung tawaran berkenaan.

“Saya harap mereka yang membuat tawaran itu kepada saya dapat memberi saya sedikit masa lagi untuk memikirkan perkara ini… terima kasih kepada Muhyiddin yang secara umum menzahirkan perkara ini.

“Bila kita ada peluang kedua untuk memilih parti politik, saya tidak ambil ringan keputusan ini, bukan kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung bila-bila masa.

Saya nak pilih dengan rela hati bukan nak jadi calon, sebab parti itu mewakili nilai dan pendirian politik saya.

“Jadi saya perlukan masa, bukan saya kata ‘no’ (tidak) kepada tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) pada podcast kali ini.

Saya nak menjelaskan kepada orang ramai dan pendengar yang peduli mengenai hal ini,” katanya pada siri podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dihoskan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin mengemukakan tawaran kepada Khairy menjadi Ahli Pimpinan Tinggi Bersatu selepas mendapat persetujuan pimpinan parti yang lain.

Muhyiddin berkata, partinya mempunyai dua kekosongan jawatan berkenaan tanpa niat ‘mengumpan’ bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Januari lalu, Khairy dipecat daripada UMNO kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti.

Khairy turut berkongsi kisah menerima pandangan dan nasihat berbeza berkaitan hal berkenaan.

“Kalau saya nak bagi jawapan pun, saya akan bagi jawapan bersemuka dengan Tan Sri Muhyiddin kerana ia lebih tertib.

“Sebagai orang politik kita mesti tertib, mesti berjumpa dengan orang beri tawaran kepada kita dan beri jawapan secara ‘gentleman’.

“Saya belum lagi dalam keadaan untuk membuat keputusan, ramai yang cakap bagi pihak saya. Penganalisis politik cakap, orang lain cakap begini dan sebagainya.

“Lokman Noor Adam bagi nasihat kepada saya, terima kasihlah kerana bagi nasihat. Saya akan memikirkan nasihat itu sambil minum jus lobak,” katanya berjenaka.

Khairy turut mengakui, tidak ramai ahli politik mendapat peluang kedua menyertai mana-mana parti tanpa melompat.

“Ramai yang melompat tapi saya tak lompat, saya dipecat. Jadi bila kita diberi peluang kedua untuk memilih parti politik, saya tidak ambil ringan keputusan ini hanya semata-mata kerana PRN dah dekat,” katanya.

Beliau memaklumkan turut menerima tawaran daripada parti politik namun enggan mengulas lanjut kerana mahu pihak berkenaan sendiri mengumumkan mengenainya.

Shahril ketika mencelah dan bertanya sama ada rakannya itu akan bertanding dalam PRN, Khairy menjawa belum pasti mengenainya.

“Walaupun saya sekarang adalah ahli politik yang sedang berehat, namun politik ini adalah sebahagian daripada DNA, walau apa pun perancangannya sebelum ini.

“Contohnya saya sebelum ini merancang untuk keluar politik dan masuk bidang perniagaan, tetapi kalau setiap hari jumpa orang dan kata saya patut masuk semula politik, ia akan mengganggu fikiran saya dan buat saya ragu-ragu.

“Jadi saya tidak mahu keputusan masuk semula dalam bidang politik ini hanya kerana emosi, nak balas dendam, ‘mengajar’ sesetengah pihak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment