MCA ingatkan Zahid utamakan BN

KUALA LUMPUR 22 Mei –  MCA mengingatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya meletakkan kepentingan parti komponen dalam BN terlebih dahulu, bukannya mengutamakan Pakatan Harapan (PH) khasnya DAP.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, dalam kenyataannya  menegaskan, Ahmad Zahid perlu berpegang kepada prinsip, selain berhati-hati dalam segala perkara berkaitan hubungan atau kerjasama antara BN dan PH.

“Perlu diingatkan bahawa sebagai Pengerusi BN, beliau haruslah menjaga kepentingan dan mengutamakan parti-parti komponen dalam BN, bukannya mengutamakan PH terutamanya DAP.

Kerjasama antara BN dan PH perlulah ada timbal balas dan menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.

Mengenai pendirian dan pandangan daripada MCA, Sin Woon menegaskan biar pemimpin parti itu sahaja yang mengeluarkan kenyataan.

“Ditegaskan juga bahawa apa jua pendirian dan pandangan oleh Parti MCA mestilah dikeluarkan oleh pemimpin MCA, khususnya  Presiden MCA sendiri, bukannya pihak lain,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini dilapor berkata, pengundi UMNO boleh menggunakan konsep sama ketika menyokong dan mengundi calon MCA pada pilihan raya sebelum ini, untuk menyokong calon daripada DAP.

Jelasnya, atas dasar kebersamaan, kaedah itu boleh digunakan untuk memilih calon dalam parti Kerajaan Perpaduan.

Related posts

Leave a Comment