5,000 bayi hadapi masalah jantung

KUALA LUMPUR 22 Mei – Kira-kira 5,000 bayi yang dilahirkan setiap tahun di negara ini mempunyai masalah jantung berlubang dan kongenital, kata isteri Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata kebanyakan pesakit turut memerlukan rawatan pembedahan dengan kepakaran yang kompleks dan kos rawatan yang tinggi.

Katanya, berdasarkan laporan The Direct Healthcare Cost of Noncommunicable Diseases in Malaysia, dianggarkan RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos penjagaan kesihatan pada 2017 diperuntukkan bagi merawat pesakit jantung.

Justeru, bagi mengelak penyakit ini, orang ramai dinasihatkan berusaha mencegahnya terlebih dahulu dengan mengamalkan gaya hidup sihat kerana perbelanjaan bagi merawat penyakit ini tidaklah murah.

“Saya melihat Institut Jantung Negara (IJN) memberi sumbangan besar dalam menangani penyakit jantung.

“Kita harap lebih banyak yayasan memberi sokongan serta mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat menyumbang bagi membantu pesakit ini,” katanya ketika melancarkan Program Myheart Siri kelima dan Kempen Kesihatan Prihatin di IJN di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Institut Jantung Negara Foundation (IJNF), Dr Aishah Ong dan Pengerusi Yayasan MYPRIHATIN, Prof Dr Halimaton Hamdan.

Sempena program itu, memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan MYPRIHATIN dan IJNF ditandatangani bagi menjalinkan kerjasama mengendali serta menampung kos logistik pesakit jantung kanak-kanak yang menghadapi masalah kewangan.

Yayasan MYPRIHATIN turut memberi sumbangan dana berjumlah RM100,000 kepada IJNF dan menyerahkan 50 hamper kepada pesakit jantung kanak-kanak di Wad Pediatrik IJN.

Related posts

Leave a Comment