Makkah Route kini di Turkiye, Ivory Coast

RIYADH: Program Pra Pelepasan Jemaah Haji atau ‘Makkah Route’ yang memudahkan urusan kemasukan jemaah haji terutama memendekkan tempoh masa proses dokumentasi diperluaskan kepada jemaah Turkiye dan Ivory Coast.

Berikutan itu, inisiatif berkenaan kini meliputi tujuh negara selain Pakistan, Malaysia, Indonesia, Maghribi dan Bangladesh sejak dilancarkan pada 2019.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, inisiatif Makkah Route bertujuan menerima jemaah haji dan menyelesaikan prosedur dari negara mereka dengan mudah.

Menurut laporan Saudi Gazette, ia bermula dengan mengeluarkan visa secara elektronik dan mengambil ciri-ciri penting, dan kemudian melalui prosedur pasport lengkap di lapangan terbang negara berlepas selepas mengesahkan ketersediaan keperluan kesihatan.

Selain itu, prosedur termasuk pengekodan dan pengasingan bagasi jemaah untuk dihantar ke tempat kediaman di negara ini.

Setibanya jemaah, mereka bergerak terus ke bas untuk dibawa ke tempat kediaman di Makkah atau Madinah, dengan laluan ditetapkan, manakala pihak berkuasa perkhidmatan menghantar bagasi mereka ke tempat kediaman.

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Haji dan Umrah, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam, Pihak Berkuasa Zakat, Cukai dan Kastam, Pihak Berkuasa Data dan Kepintaran Buatan Saudi “SDAIA”, “Program Doyof (Tetamu) Al Rahman”, antara program eksekutif Wawasan Saudi 2030, dan Direktorat Am Pasport.

Related posts

Leave a Comment